Home Kemanusiaan/Motivasi SENTIASALAH BERLAKU JUJUR DALAM SEMUA PERKARA KERANA KEJUJURAN ITU JAMINANNYA SYURGA

SENTIASALAH BERLAKU JUJUR DALAM SEMUA PERKARA KERANA KEJUJURAN ITU JAMINANNYA SYURGA

482
0

Hubungan baik sesama insan kunci kebahagian termasuk melibatkan keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan masyarakat secara amnya. Hakikatnya kehidupan kita tidak boleh berjalan lancar tanpa hubungan baik sesama insan. Bercakap soal kehidupan harmoni sesama insan, maka antara tip penting dalam menjaga hubungan ialah sentiasa menyemai sikap jujur dalam diri. Tidak ada orang suka dikhianati dalam hubungan sesama manusia. Kejujuran perkara paling penting yang dapat menjaga hubungan baik. Tanpa kejujuran maka timbul pelbagai konflik dalam kehidupan seperti perselisihan faham, iri hati, prasangka buruk, rasa dikhianati, hasad dengki, menzalimi orang lain dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda:

“Kalian harus menjauhi kedustaan. Sesungguhnya kedustaan itu membawa kepada perbuatan dosa dan sesungguhnya dosa membawa kepada neraka. Jika seseorang sentiasa berdusta dan selalu berusaha untuk berdusta, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang kazzab (suka berdusta).” (HR Bukhari dan Muslim).

Lihatlah akhlak dan peribadi yang ditunjukkan Rasulullah SAW baik sama ada dalam kehidupan seharian mahupun semasa menguruskan perniagaan Saidatina Khadijah. Baginda sentiasa bersikap jujur dalam segala hal, maka disebabkan kejujurannya, Baginda digelar ‘Al-amin’ yang bermaksud insan dipercayai.

Maka dari itu, sebagai umat Islam marilah kita menyahut seruan Baginda SAW agar sentiasa berlaku jujur terhadap semua perkara. Ini kerana jujur itu akan memberikan jaminan kepada kita sebuah kebaikan, pahala dan seterusnya syurga yang diimpikan oleh setiap umat Islam di akhirat sana. Sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kamu bersikap jujur, kerana kejujuran itu akan membawa pada kebaikan, sedangkan kebaikan akan membawa kepada syurga.” (HR Muslim).

Ingatlah, umat Islam yang selalu bersikap jujur atau berdusta secara tidak langsung akan menjadikan sikap tersebut sebagai kebiasaan serta ceminan akhlaknya. Oleh itu, sentiasalah bersikap dengan jujur dan Ikhlas kerana Allah SWT sangat menyayangi orang yang sentiasa melakukan kebaikan.

Sumber: Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia (PIKDM)