Home Kemanusiaan/Motivasi PELIHARALAH KESUCIAN MASJID DAN SURAU – RUMAH ALLAH BUKANLAH ‘GELANGGANG’ UNTUK MANUSIA...

PELIHARALAH KESUCIAN MASJID DAN SURAU – RUMAH ALLAH BUKANLAH ‘GELANGGANG’ UNTUK MANUSIA MENUNJUKKAN KUASA

265
0

Masjid adalah tempat berkembangnya syiar Islam dalam sesebuah kariah, tempat membina kekuatan ilmu, iman dan akhlak, menjadi pusat perpaduan ummah yang kukuh dan nadi kepada pembangunan ummah. Masjid berupaya melahirkan ummah yang berkualiti dan mampu mara maju ke hadapan mendahului umat yang lain. Malah Rasulullah SAW telah memberi jaminan kepada manusia untuk mendapat perlindungan Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan, iaitu lelaki yang hatinya sentiasa terikat untuk hadir ke masjid bagi menjalankan aktiviti solat, beriktikaf, berzikir, mentadabbur al-Quran, mendengar kuliah dalam majlis – majlis ilmu dan menyertai aktiviti-aktiviti yang lain.

Namun sejak akhir – akhir ini, masjid seakan menjadi ‘gelanggang’ buat para manusia untuk menunjukkan kekuasaan mereka dalam mentadbir pengurusan masjid. Seperti situasi yang terjadi baru – baru ini di mana pengurusan masjid di sebuah negeri dikatakan cuba menghalang sekumpulan pemuda untuk melaksanakan solat di masjid tersebut dek kerana dikatakan alasan memakai pakaian yang berunsurkan politik. Jika dilihat daripada tindakan pengurusan masjid tersebut mungkin mereka mahu mencegah dari tercetusnya sebarang sangka buruk yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada masjid berkenaan.

Namun, pertimbangan yang sewajarnya harus dibuat oleh pihak masjid berkenaan kerana kumpulan pemuda itu hanya datang untuk mengerjakan solat fardhu dan bukannya untuk mencetuskan kekacauan. Malah dalam hal ini, mungkin pihak pengurusan masjid boleh mengadakan perjumpaan secara bersemuka kepada pihak berkenaan dan menasihatkan mereka. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, bukankah masjid sepatutnya menjadi tempat untuk umat Islam bersatu hati dalam mengukuhkan ukhuwah? Allah SWT sangat memuliakan sesebuah masjid dan ini dapat dilihat menerusi sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah Masjid”. (HR Muslim).

Jangan kita jadikan masjid tempat untuk mencetuskan permusuhan, persengketaan, tuduh-menuduh dan menjadikannya sebagai tempat kita memperlekehkan pihak yang tidak sehaluan dengan kita. Masjid bukanlah tempat untuk menanam bibit-bibit kebencian antara satu golongan dengan yang lain dan ia bukan tempat mewujudkan perpecahan di kalangan umat. Firman Allah SWT:

“Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid – masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”. (QS At – Taubah: 18).
Oleh itu, semua pihak wajib sedar dan peka dengan penuh rasa tanggungjawab supaya memastikan masjid itu berada dalam keadaan aman dan jauh daripada kekacauan. Kesucian masjid sepatutnya dipelihara agar keharmonian dan ukhuwah islamiyyah dapat dipupuk dalam kalangan jemaah.

Sumber: Khutbah Jumaat “Menjaga kemuliaan dan kesucian masjid”, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 28 September 2018.