Home Kemanusiaan/Motivasi PILIHLAH PEMIMPIN YANG ADIL DAN TERBAIK

PILIHLAH PEMIMPIN YANG ADIL DAN TERBAIK

395
0

Kurang daripada 24 jam, para penduduk di enam buah negeri akan terlibat dengan proses pembuangan undi menerusi Pilihanraya Negeri (PRN) yang melibatkan Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan juga Selangor. Sebagai rakyat Malaysia yang secara zahirnya sudah terlibat dengan proses demokrasi ini, sudah pasti kita akan menjalankan tanggungjawab kita dalam memilih seorang wakil untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan membawa suara kita sebagai rakyat ke peringkat yang tertinggi.

Namun, adakah kita betul – betul yakin dengan pilihan kita? Sudah pasti ada di kalangan kita yang tertanya – tanya, adakah calon ini seorang yang adil dan terbaik? Dalam menentukan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara, pemimpin itu mestilah dipilih daripada kalangan mereka yang betul-betul mempunyai kelayakan terutamanya sifat adil sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambil lah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (QS al-Qasas: 26)

Berdasarkan ayat di atas, seorang pemimpin yang hendak dipilih mestilah berdasarkan kepada ciri-ciri yang telah disebutkan Allah SWT ataupun disebutkan oleh Nabi SAW. Dapat difahami daripada ayat berkenaan, yang menjadi syarat utama seorang pemimpin ialah seorang yang mempunyai kebolehan dan kelayakan dalam mengurus dan mentadbir. Bukan Sahaja mencari pemimpin yang terbaik, malah lebih utama mencari yang adil dan tidak pilih kasih dalam menjalankan khidmat kepada rakyat. Allah SWT mewajibkan kita memberi penyaksian (memilih) pemimpin yang adil seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memberi penyaksian kepada mereka yang adil dan berpeganglah penyaksian itu (keputusan) kerana Allah semata-mata” (QS al-Talaq: 2).

Bahkan seorang ilmuwan Islam, Ibnul Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ia berlawanan dengan kesamarataan, ia mestilah selari dengan ketetapan syarak sama ada ia satu bentuk suruhan mahupun larangan. Jika Islam menyuruh umatnya memberikan hak-hak kepada rakyat seperti hak pendidikan, kesihatan dan keselesaan hidup, maka pemimpin yang adil wajib sama melaksanakannya seperti suruhan agama. Jika Islam mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, maka pemimpin yang adil wajib sama mengharamkannya selari dengan larangan agama.

Oleh yang demikian, pengundi Muslim hendaklah meyakini bahawa urusan memilih pemimpin adalah sebuah amanah dengan agama yang akan ditanya oleh Allah kelak. Sebagai seorang Muslim dan rakyat yang beragama Islam, kita wajib mengutamakan pemimpin yang adil kerana hanya dengan keadilan semua makhluk akan merasai keselamatan dan mendapat hak-hak mereka. Rakyat bukan Islam juga akan mendapat keadilan sebagai rakyat yang hidup di bawah kepemimpinan seorang pemimpin yang adil. Pemimpin yang adil akan sentiasa dikasihi oleh Allah seperti jaminanNya dalam al-Quran iaitu negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan.

Tugas memilih pemimpin terbaik adalah di bahu setiap pengundi. Jika mereka dapat membuat pertimbangan yang wajar dan waras, pastinya akan dipilih mereka yang benar-benar layak untuk memimpin negara kita untuk mencapai mercu kejayaan dan kecemerlangan. Semua pihak mestilah bertanggungjawab di atas pilihan mereka. Setiap pemilih juga harus bertanggungjawab di atas pilihan mereka kerana undi mereka mencorakkan kepemimpinan negara masa hadapan.

Selamat menjalankan tanggungjawab mengundi.

Sumber: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan