Home Kemanusiaan/Motivasi PASCA PRN ENAM NEGERI SELAMAT MENJALANKAN TUGAS DAN AMANAH BUAT PARA PEMIMPIN

PASCA PRN ENAM NEGERI SELAMAT MENJALANKAN TUGAS DAN AMANAH BUAT PARA PEMIMPIN

349
0

Hari ini sudah pun memasuki hari kedua selepas PIlihanraya (PRN) di enam buah negeri dijalankan. Seperti yang kita maklum, bahawa segala keputusan siapa yang menang dan siapa yang tewas sudah pun diumumkan. Kepada calon -calon yang tewas, usah bersedih hati kerana anda masih mempunyai peluang dalam menabur khidmat bakti kepada rakyat. Kepada yang berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing – masing berdasarkan pemilihan demokrasi ini, maka bersiap sedialah dalam mengharungi liku – liku cabaran sebagai seorang pemimpin yang bakal menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada anda. Sabda Rasulullah SAW:

“Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin..” (HR Bukhari).

Menjadi orang yang amanah dan bertanggungjawab tidaklah mudah. Apalagi bila melibatkan hal – hal pentadbiran yang berhubung kait dengan soal kebajikan rakyat. Jawatan kepimpinan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras secara bersungguh-sungguh. Kepimpinan adalah menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia. Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat sama ada di dunia dan juga akhirat.

Seorang pemimpin itu haruslah memelihara dan memartabatkan nilai murni agama, menjaga keselamatan rakyat daripada pencerobohan dan anasir negatif dari pihak luar, menegakkan keadilan dan menjamin keamanan dalam negara, menyelesaikan pertelingkahan dan perselisihan dengan bijaksana dan mengutamakan kebajikan dan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.

Ingatlah, pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disayangi rakyat atau orang bawahannya. Oleh itu, memimpinlah dengan cara memupuk kesetiaan masyarakat kepada kepimpinannya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan dan kesetiaan. Ambil iktibar daripada nasihat Nabi SAW kepada Abu Dzar ketika meminta dilantik menjadi pegawai Nabi SAW yang bermaksud:

“Wahai Abu Dzar, engkau tidak mampu sedangkan jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di Hari Kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” (HR Muslim).
Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada semua ADUN – ADUN yang dilantik.

Sumber: Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)