Golongan Islam liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran Rasulullah SAW dan para Sahabat Nabi SAW serta ulama mujtahid.
Bagi mereka, agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara muktamad. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, arus kemodenan, hak-hak manusia dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditafsir semula atau sebolehnya digugurkan.
Konsep yang dipegang oleh golongan Islam liberal ini sebenarnya mencerminkan jiwa yang tidak beriman kerana kecewa dengan agama. Konsep ini juga mengakibatkan golongan liberal sentiasa berpandu kepada keraguan dan dalam proses ini secara tidak langsung falsafah atau logik akal telah diiktiraf sebagai alat utama menuntut kebenaran yang tidak tercapai. Seharusnya apabila agama Islam menjadi pegangan, semua aspek telah dipandu sebaiknya oleh syariat dan sesuai digunakan sepanjang zaman. Inilah bukti bahawa syariat itu adalah dari Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu berbanding manusia yang hanya terhad akalnya dan sentiasa berubah-ubah ideanya mengikut zaman. Renung-renungkan.
Sumber: Buku Cabaran Akidah: Pemikiran Islam Liberal – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan