Sejak kebelakangan ini begitu banyak ‘content’ yang tular di media sosial. Bermula dengan isu pergaduhan sesama pempengaruh (influencer) media sosial hinggalah ke isu perkahwinan poligami seorang pembuat kandungan (content creator) TikTok yang mengundang kecaman hebat para netizen. Ramai netizen pada hari ini seakan – akan mengambil kerja Tuhan untuk menghakimi persona – persona terbabit seakan – akan mereka telah melakukan dosa yang sangat besar. Malah yang lebih keterlaluan, ada sebilangan mereka sanggup mengeluarkan kata – kata kesat dan berbaur ugutan. Nauzubillahiminzalik!
Keindahan Islam terletak pada adab dan akhlak yang mulia. Antara adab dan akhlak yang dianjurkan dalam Islam ialah menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi sesama Muslim. Menjaga hati orang lain yang dimaksudkan di sini adalah selama mana tidak berkait dengan pelanggaran asas akidah dan hukum syarak. Etika Islam yang cukup halus ini hakikatnya adalah antara asas penting dalam agenda penyatuan dan perpaduan ummah. Bersatu padu bukan sekadar sedap diucapkan lidah semata-mata, bahkan ia memerlukan jalinan kerjasama yang benar-benar erat antara lidah dan hati. Ini kerana lidah yang tidak dikawal mampu melukakan hati, manakala hati yang luka mampu mengeruhkan suasana menjadi porak-peranda. Firman Allah SWT:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS An – Nisa’: 148).
Perkataan yang baik adalah perkataan mengandungi kebenaran dan manfaat. Setiap orang diwajibkan untuk berkata yang benar dan tidak boleh berbohong serta mencela. Kata-kata yang kotor dan dusta sebenarnya boleh menjatuhkan maruah, mematikan persahabatan serta memutuskan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya dihubungkan. Hanya satu keadaan saja Allah SWT mengizinkan seseorang mengeluarkan kata-kata buruk iaitu untuk memberi peringatan terhadap orang yang menzaliminya.
Sebahagian besar manusia tidak mengetahui betapa besarnya pengaruh ucapan dalam jiwa manusia, justeru, mereka tidak berhati-hati menjaga ucapan daripada menyebut sesuatu yang buruk dan tidak pula menjauhkan telinga daripada mendengar sebarang ucapan yang keji. Allah SWT tidak menyukai sebarang bentuk ucapan menyakitkan yang disebut dengan cara berterus terang mahupun dengan cara sembunyi-sembunyi kerana larangan Allah SWT juga termasuk berbisik-bisik dalam membicarakan sesuatu perkara boleh membawa kepada dosa dan permusuhan. Ingatlah, jagalah lidah dan jari jemari kita dari terus menyakiti orang lain. Jangan jadikan ianya asbab untuk kita ke neraka. Rasulullah SAW bersabda:
“Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencaci, melaknat, bersifat keji mahu pun bermulut celupar.” (HR At – Tirmidzi).
Sumber: Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)