Home Kemanusiaan/Motivasi MENUJU 66 TAHUN KEMERDEKAAN -PADAMKANLAH API SENGKETA SEBALIKNYA BERSATULAH DEMI KEHARMONIAN AGAMA...

MENUJU 66 TAHUN KEMERDEKAAN -PADAMKANLAH API SENGKETA SEBALIKNYA BERSATULAH DEMI KEHARMONIAN AGAMA DAN NEGARA

256
0

Dalam berberapa hari sahaja lagi negara akan menuju ke sambutan kemerdekaan untuk yang ke – 66 tahun. Bagaimanakah persiapan kita? Adakah kita sudah keluar dari kepompong lama dan beralih kepada kehidupan yang baru? Mungkin ada segelintir daripada kita sudah pun ‘memerdekakan’ fikiran kita daripada pemikiran yang terlalu jumud kepada satu pemikiran yang baru. Namun, terdapat sesetengah daripada kita masih lagi ‘terperangkap’ dengan persengketaan yang sengaja dicipta oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat sengaja mahu melihat perpecahan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Kehidupan manusia pada hari ini memberikan kita gambaran jelas bagaimana kedudukan dunia di hati manusia sehingga sanggup berbuat apa sahaja, asalkan hajat dan impian keduniaan tercapai. Lalu tidak kurang perselisihan dan permusuhan sesama Muslim dan sesama manusia lain berlaku. Tiada lagi rasa bahawa perbuatan salah laku akhlak buruk sebagai satu fobia yang perlu dihindari, sebaliknya perhitungan dosa dan pahala sudah tidak termasuk dalam ‘rak peribadi’ yang perlu dipelihara sepanjang hidup. Yang berselisih faham atas isu apapun, terus-menerus membiarkan hati bersarang dengan dendam kesumat. Yang tersinggung hati dan perasaan terus membiarkan hati kecewa dan marah berada dalam diri. Hanya menunggu detik dan masa untuk membalas kembali dendam dan marah lama. Maka, bersambungan api permusuhan dan persengketaan sesama sendiri.

Apakah kita tidak tahu bahawa Islam sangat menekankan sikap memaafkan orang lain? Bahkan di dalam al-Quran banyak kali Allah SWT menyentuh soal memaafkan dan ini menggambarkan maaf suatu sikap terpuji yang dicintai Allah SWT. Orang yang bersikap suka memaafkan kesalahan orang lain membuktikan keluhuran hati budinya yang suci. Allah SWT berfirman:

“Jika kamu menyatakan suatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan suatu kesalahan orang lain, maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (QS An – Nisa’: 149).

Maka dari itu, kita sebagai umat Islam disarankan untuk memadamkan api persengketaan sebaliknya bersatulah demi keharmonian agama dan bangsa. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan hidup berbilang bangsa dan agama ini bersatu dan berganding bahu di antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang dan agama, apatah lagi jika sesama agama kita akan dituntut supaya lebih mengukuhkan ukhuwah. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah meredhai bagimu tiga perkara dan membenci tiga perkara; Dia meredhai kalian supaya beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, kalian berpegang teguh dengan agama-Nya dan tidak berpecah belah, dan Allah membenci kalian dari mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta.” (HR Muslim).

Sumber: Facebook ASWJ – Ahlul Sunnah Wal Jama’ah
(https://www.facebook.com/aswjmy/posts/1560175714119477/)