Esok, 31 Ogos 2023 kita bakal menyambut sambutan kemerdekaan Malaysia untuk tahun yang ke -66. Dengan bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, ia menggambarkan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menyatu-padukan semua rakyat tidak kira latar belakang agama, budaya dan juga bangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menyokong usaha Kerajaan untuk menggalakkan perpaduan sesama rakyat Malaysia.
Hal yang sama juga diterapkan didalam ajaran agama Islam di mana ia menetapkan asas penting yang menjadi teras kerukunan hidup bermasyarakat. Secara umumnya, Islam menekankan kepentingan untuk menjalani kehidupan dengan sifat saling berkasih sayang melalui adab dan tatasusila sebenar seorang Muslim. Sifat umat yang berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad SAW dalam memelihara hubungan sesama manusia disimpulkan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al – Hujurat pada ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Umat Islam sepatutnya membudayakan semangat untuk saling mempelajari dan memberikan penghargaan kepada orang lain serta tidak mudah mempercayai berita diterima tanpa usul periksa. Islam melarang perbuatan mencerca dan menggunakan perkataan yang kasar kerana didorong sentimen dan emosi yang tidak terkawal. Allah SWT melarang umat Islam menyakiti hati orang lain yang akhirnya menimbulkan permusuhan dan pertengkaran berpanjangan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu apa pun yang paling berat di dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat nanti daripada akhlak yang mulia. Sesungguhnya Allah sungguh membenci orang yang berkata kotor lagi jahat.” (HR At – Tirmidzi).
Oleh itu, hayatilah satu daripada prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan agar perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara. Setiap warga di pelbagai peringkat sama ada pemimpin mahupun rakyat wajib mendokong prinsip itu bagi menggapai matlamat keamanan dan keharmonian. Perbuatan membiarkan mana-mana pihak untuk saling mencela dan menghina adalah sesuatu yang berbahaya kerana akhirnya akan menyemarakkan api kebencian serta permusuhan sehingga mencetuskan ketegangan yang mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran negara.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke – 66.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan