Berbicara mengenai khusyuk, ia bukan sahaja diperlukan dalam ibadah solat, bahkan dalam ibadah-ibadah lain, malah dalam kehidupan seharian kita juga memerlukan khusyuk atau mindfulness ini. Khusyuk dalam solat bermaksud kesedaran hati terhadap bacaan seperti zikir dan doa yang dituturkan lidah sambil memerhati serta memikirkannya, menghayati makna dan berasa sedang bermunajat kepada Allah SWT.
Begitu juga dalam ibadah lain dan kehidupan seharian kita yang memerlukan khusyuk ini, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk pertuturan, pemerhatian, pemikiran, perbuatan dan penghayatan. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu). Demikian itu adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (QS Al – Jumuah: 9).
Persoalan solat yang tidak khusyuk bukanlah suatu perkara yang remeh, tetapi ia merupakan suatu seruan daripada Allah SWT kepada kita dalam Surah Al-Hadid, ayat 16, Allah SWT berfirman:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah?.”
Perlu kita renungkan, sampai bila kita akan terus bersolat tanpa khusyuk? Apakah kita merasa selesa dengan kelalaian yang mencengkam jiwa kita ketika mendirikan solat? Atau adakah kita masih menunggu masa yang entah bila untuk benar-benar menghayati setiap gerakan dan bacaan solat? Jangan biarkan sikap alpa ini menghantui diri hingga sampai ke penghujung kehidupan kita yang sementara ini.
Sudah tiba masanya bagi kita untuk kembali kepada hakikat solat. Solat yang dipersembahkan kepada Allah SWT sepatutnya diiringi dengan penghayatan dan kekhusyukan. Ketiadaan kualiti ini menjadikan solat kita seperti jasad tanpa roh, tidak mempunyai nilai yang sesungguhnya.
Khusyuk adalah roh solat. Tanpa khusyuk, solat kita ibarat bangkai yang tidak memberi erti. Solat tanpa khusyuk, sama sekali tidak akan mampu membantu kita menanggulangi cabaran dan ujian kehidupan. Kesedaran untuk memperbaiki kekhusyukan dalam solat adalah langkah pertama ke arah perubahan yang lebih baik. Hal ini kerana dengan cara ini sahaja kita akan dapat mencapai kedamaian dan ketenangan dalam hidup.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)