Dunia sudah menuju ke fasa akhir zaman apabila ada larangan Allah SWT dan juga Rasulullah SAW tidak dipedulikan malah semakin dilakukan. Apa yang lebih mengejutkan bahawa ia berlaku di dalam negara Islam sendiri iaitu Arab Saudi. Ini selepas Kerajaan negara tersebut mengambil keputusan untuk membangunkan semula kota yang dilaknat oleh Allah SWT atas sikap buruk kaumnya iaitu kaum Tsamud, kota Al Ula ataupun lebih dikenali sebagai Madain Saleh.
Pemerintah Arab Saudi mengambil keputusan untuk membelanjakan sejumlah USD$15 milion ke atas pembangunan kawasan tersebut agar dijadikan sebagai tempat perlancongan yang paling mewah di dunia. Mungkin ada sebahagian yang tidak tahu mengapa umat Islam dilarang untuk mengunjungi bahkan mendekati kota yang dilaknat oleh Allah SWT ini. Kota ini dahulunya juga merupakan penempatan manusia sama seperti kota – kota Arab yang lain. Kaum yang tinggal di sini adalah kaum Tsamud yang terkenal dengan kebolehannya membuat ukiran gunung. Kota ini juga dahulunya subur dan menghijau serta dilimpahi dengan hasil alam semulajadi.
Namun dek kerana limpahan kesuburan tersebut, ia membuatkan kaum Tsamud menjadi kufur dan sombong. Lalu Allah memerintahkan Saleh A.S mengunjungi kota tersebut dan mengajak kaum Tsamud untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al – A’raf ayat 73 bermaksud:
“Dan kepada kaum Tsamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Namun, kaum Tsamud menolak ajaran Nabi Saleh A.S dan berterusan melakukan kejahatan. Akibatnya, Allah SWT menurunkan azab kepada mereka sehinggakan tidak seorang pun daripada mereka yang tersisa hidup. Ini juga seperti yang dituliskan di dalam al – Quran dalam surah Hud, ayat 68:
“Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.”
Rasulullah SAW melarang umat Baginda mendekati kota tersebut kerana mahu kita menggeruni betapa hebatnya kekuasaan Allah SWT dalam memberikan sesuatu azab kepada golongan yang ingkar akan suruhanNya dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku terhadap kaum sebelumnya. Malah semasa Baginda melalui kawasan tersebut ketika menyertai perperangan Tabuk, Baginda menyuruh para sahabat berjalan dengan segera dan menjauhi kota tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kamu memasuki tempat tinggal orang-orang yang zalim, kecuali sambil menangis. Kerana apa yang menimpa mereka boleh jadi akan menimpa kamu” Lalu Nabi Muhammad menutup kepalanya dengan kain dan mempercepatkan perjalanannya hingga meninggalkan kota itu.” (HR Bukhari).
Apa yang boleh digambarkan pada hari ini, demi mengaut keuntungan dan kekayaan, maka larangan Allah SWT dan Rasulullah SAW sanggup dilanggar. Artikel ini hanya boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini agar sentiasa mematuhi suruhan Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Jangan kerana keseronokan dunia membuatkan kita semakin buta hati. Sekiranya ada di antara kita nanti yang melewati kota tersebut dalam keadaan terpaksa maka menangislah dalam keadaan tawaduk dan Insaf akan kekuasaan Allah terhadap orang – orang yang ingkar.
Sumber: Portal Merdeka.com (https://www.merdeka.com/trending/tempat-di-arab-ini-terkutuk-bahkan-nabi-muhammad-ogah-berlama-lama-untuk-berhenti.html)