Sememangnya diakui gerakan kumpulan ateis tidaklah begitu menonjol di Malaysia, malah hanya melibatkan golongan-golongan tertentu sahaja. Namun, golongan-golongan tertentu yang dimaksudkan itu termasuklah golongan anak muda Melayu. Mereka cenderung untuk menghebahkannya di alam maya berbanding di alam realiti kerana khuatir dengan penerimaan keluarga dan masyarakat.
Selain itu, terdapat juga segelintir golongan ateis yang bebas menganggu ketenteraman awam sehingga mengakibatkan berlakunya kerosakan prinsip kehidupan beragama sekaligus merosakkan kepercayaan umat Islam kepada Tuhan. Serangan yang berbentuk pemikiran sama ada menggunakan kaedah ‘brain wash’, ‘thought control’ dan ‘ideological reform’. Golongan ateis terus menyogok dengan persoalan-persoalan seperti ‘siapakah Tuhan yang sebenar’? ‘kalau Tuhan itu wujud, di mana Tuhan tinggal’? siapa yang mencipta Tuhan’? kenapa Tuhan membiarkan orang yang hidup dalam kesusahan semakin menderita’? dan sebagainya.
Sedarlah wahai umat Islam bahawasanya soalan-soalan yang diajukan tersebut pada hakikatnya boleh mencetuskan kekeliruan sekiranya tidak ada keimanan yang kukuh. Kecenderungan untuk membenarkan fahaman ateis menguasai diri juga adalah tinggi kerana tidak dapat mencari jawapan yang tepat tentang persoalan tersebut. Hal seperti ini pernah dinyatakan oleh Yusuf al-Qardhawi bahawa serangan pemikiran begini sememangnya menyasarkan golongan anak muda Islam kerana mereka mudah menerimanya, terutamanya mereka yang lahir dan hidup di dunia Islam, namun pemikiran mereka tidak berasaskan Islam. justeru itu, apakah tindakan kita sebagai umat Islam untuk mempertahankan akidah sama ada diri sendiri, keluarga, rakan-rakat dan masyarakat Islam yang lain? Tepuk dada, tanya iman.
Sumber: Jurnal al-Hikmah, Vol. 15(1)