Home Kemanusiaan/Motivasi HARAM MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI DAN ORANG LAIN JANGAN TERLALU ‘MENGAGUNGKAN’ PESALAH YANG...

HARAM MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI DAN ORANG LAIN JANGAN TERLALU ‘MENGAGUNGKAN’ PESALAH YANG NYATA MELANGGAR UNDANG – UNDANG

406
0

Heboh di serata media sosial khsusnya aplikasi TikTok yang menunjukkan seorang penghantar makanan ataupun ‘food rider’ yang berjalan kaki akibat motornya di sita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa operasi kenderaan pada minggu lepas. Ramai netizen yang melahirkan rasa simpati terhadap ‘rider’ tersebut dan menggambarkan seolah – olah dianiayai oleh pihak berkuasa.

Apa yang kita tidak tahu akan isu sebenarnya adalah insurans dan cukai jalan bagi ‘rider’ tersebut telah pun tamat pada awal Februari tahun ini iaitu bertepatan dengan tempoh tujuh bulan. Menurut kenyataan JPJ, tujuh bulan adalah satu tempoh yang agak lama dan ini akan membahayakan nyawa ‘rider’ itu sendiri dan orang lain sekiranya berlaku kemalangan. Artikel ini dibuat bukanlah bertujuan untuk melaga – lagakan mana – mana pihak, akan tetapi sekadar ingin memberikan pengajaran kepada semua pihak kepentingan untuk tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Tahukah kita bahawa membahayakan diri sendiri dan orang lain amatlah dilarang di dalam agama Islam? Islam melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya, sama ada keluarga, masyarakat mahupun rakyat di negaranya tanpa mengira perbezaan agama. Ulama usul fiqh merumuskan kaedah penting yang dikenali sebagai qawa’id fiqhiyah, iaitu ‘la darar wala dirar’ yang menekankan keperluan untuk menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan yang diperakui syarak. Berdasarkan kaedah itu juga, orang Islam tidak dibenarkan melakukan sesuatu tindakan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” (QS Al-A’raf: 56).

Larangan itu turut disebut dalam hadis yang diriwayatkan Sa’ad Ibnu Sinan al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (HR Ibnu Majah).

Oleh itu, sebelum kita mahu mengkritik sesuatu, siasatlah dahulu punca sebenar kejadian tersebut. Yang paling penting, jangan terlalu ‘mengagungkan’ pesalah yang nyata melanggar undang – undang yang telah ditetapkan. Hendak merasa kasihan, boleh tetapi jangan membuta tuli mengkritik pihak yang menjalankan tanggungjawab demi keselamatan kita semua.

Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kejadian ini. Pengguna jalan raya perlu sentiasa beringat bahawa cukai jalan dan insurans penting kerana apabila berlaku kemalangan, diri sendiri serta kenderaan termasuk individu lain akan dilindungi. Sebaliknya jika gagal berbuat demikian dan ditakdirkan pula berlaku kemalangan serta melibatkan kematian, orang lain tidak boleh membuat tuntutan insurans. Jadi, janganlah merisikokan diri dan patuhilah undang-undang jalan raya.

Sumber: Portal Almanhaj (https://almanhaj.or.id/12328-tidak-boleh-membahayakan-orang-lain-2.html)