Maksiat adalah perbuatan mengingkari perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap Muslim diingatkan agar menjauhkan diri daripada melakukan pebuatan maksiat kerana ia bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT, tetapi juga memberikan banyak kesan mudarat kepada diri dan kehidupan.
Namun, bentuk perbuatan maksiat sentiasa berubah seiring peredaran zaman. Sebahagian perlakuan maksiat seakan-akan dijenamakan semula dengan pelbagai rupa bertujuan mempromosikan sebagai gaya hidup popular dan diterima masyarakat. Segala perbuatan dosa dan maksiat hakikatnya dijelaskan dalam Islam seperti di dalam al-Quran dan hadis.
Firman Allah SWT:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (QS Ar – Rum: 41).
Medium melakukan maksiat kini pelbagai. Justeru, dakwah dan pencegahannya mesti dipergiatkan sesuai dengan kapasiti masing-masing sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim).
Oleh itu, tanggungjawab mencegah perbuatan maksiat mestilah dijalankan dalam semua peringkat masyarakat, bermula daripada diri, keluarga, masyarakat hinggalah negara. Antara amalan yang dianjurkan kepada umat Islam untuk menghindarkan diri daripada maksiat adalah dengan berdoa agar dipelihara diri daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat. Di samping itu, perlu ada perasaan takut terhadap kemurkaan dan balasan Allah SWT dapat mencegah daripada perbuatan maksiat selain perasaan cinta dan keinginan untuk mendapatkan balasan syurga Allah SWT.
Kita juga dianjurkan agar melakukan amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu melakukan perubahan diri ke arah kebaikan. Di dalam hadis riwayat Abu Zar RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan amal kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan dosa. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (HR At – Tirmidzi).
Kita harus berganding bahu bagi mencegah perbuatan maksiat dalam masyarakat dengan segala kemampuan yang ada. Bagi yang terlanjur melakukan maksiat, peluang untuk bertaubat sentiasa terbuka, berusahalah berjihad memerangi hawa nafsu dan sentiasa menyucikan jiwa. Manfaatkanlah kemodenan bagi kebaikan kerana ramai orang yang berjaya memperoleh manfaat hasil kemajuan teknologi. Kesempitan hidup bukan asbab kita memilih jalan dosa dan maksiat. Bahkan mereka yang berusaha menjauhi maksiat dijanjikan ganjaran besar di akhirat. Usahlah terpesona dengan fatamorgana keindahan dunia yang sementara sehingga kita tersasar memilih jalan yang tidak diredai Allah SWT.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)