Gejala ateisme yang wujud di Malaysia ini berpegang dan berpaksikan kepada hak asasi manusia dan terpengaruh dengan apa yang dipegang oleh negara-negara Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights. Bagi mereka, Tuhan dan agama tidak perlu kerana akal fikiran mampu menyelesaikan segala perkara. Oleh sebab itu, mereka tidak percaya kepada kewujudan dan peranan Tuhan sehingga menggelarkan diri sebagai ateis.
Di Malaysia, meskipun golongan ateis tidak begitu menonjol, namun hakikatnya fahaman ini semakin berkembang dan semakin berani didorong oleh beberapa faktor. Contohnya seperti kemunculan dan perkembangan ideologi liberal yang didokong oleh pertubuhan bukan kerajaan seperti Sister in Islam (SIS) dan Islamic Renassaince Front (IRF).Tambahan lagi pertubuhan-pertubuhan tersebut dilihat hebat menentang dan mempertikaikan hukum-hukum syariat di khalayak umum, maka ia memberi kekuatan kepada golongan ateis untuk turut sama berjuang kerana matlamatnya sama iaitu memisahkan agama dari segala aspek kononnya atas alasan hak asasi manusia.
Perkaitan antara ateisme dan liberal ini secara nyatanya adalah pakatan yang mampu meruntuhkan akidah dan syiar Islam di Malaysia jika tiada mana-mana pihak yang cakna dan bertanggungjawab membanteras ancaman akidah ini. Justeru itu, terang lagi bersuluh ateisme adalah fahaman yang sesat dari sudut semua agama yang melanggar fitrah sebagai seorang manusia yang asalnya beragama, maka jauhilah dari tergolong dalam kumpulan ateisme, mantapkanlah akidah demi mengharungi cabaran fitnah akhir zaman. Moga dengan usaha mempertahankan akidah diberi ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak.
Sumber: Jurnal al-Hikmah, Vol. 15(1) -Universiti Kebangsaan Malaysia