Home Kemanusiaan/Motivasi BERHATI -HATILAH DENGAN FITNAH “DAJJAL KECIL” YANG MEMPORAK – PERANDAKAN HIDUP MANUSIA

BERHATI -HATILAH DENGAN FITNAH “DAJJAL KECIL” YANG MEMPORAK – PERANDAKAN HIDUP MANUSIA

683
0

Di akhir zaman ini, pelbagai fitnah manusia bertebaran di muka bumi ini. Bermula dari sekecil – kecil perkara hinggalah kepada sebesar – besar isu. Benarlah, kita kini berada di fasa akhir kehidupan di dunia di mana semakin banyak fitnah yang melata hingga memporak – perandakan kehidupan manusia. Tidak keterlaluan jika artikel menggelarkan ini semua adalah perbuatan “dajjal kecil” yang mahu menggoyahkan iman umat Islam supaya saling membenci antara satu sama lain hingga memecahkan ukhuwah para Muslim.

“Dajjal kecil” yang dimaksudkan itu adalah manusia – manusia yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah demi kepentingan diri sendiri tanpa sedikit pun adanya rasa simpati kepada manusia lainnya. Akibatnya, ia membawa bencana kepada seluruh umat manusia apatah lagi dengan kepesatan media sosial yang semakin berkembang. Semakin banyaklah ia berleluasa sehingga mengakibatkan timbulnya perbalahan. Ingatlah akan pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, sabda Baginda:

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari dan Muslim).

Islam menegah perbuatan fitnah ini bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. Dalam al-Quran, Allah SWT menempelak mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” (QS An – Nur: 11 – 12).

Ingatlah, hidup kita tidak akan aman selagi kita terus kerap membawa fitnah di merata tempat. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (QS An – Nur: 19).

Kita sebagai umat Islam perlu menyedari bahawa melakukan dan menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Walaupun penyampaian maklumat semakin senang dan mudah, ianya bukan alasan untuk kita menyebarkan fitnah sewenang-wenangnya. Dalam masa yang sama, kita juga dituntut supaya sentiasa berhati -hati dengan fitnah – fitnah “dajjal kecil” ini dari terus meresap ke dalam diri kita agar tidak terpengaruh. Kita perlu menyedari bahawa diam itu lebih baik dan bercakap bila perlu serta menyebarkan maklumat yang bermanfaat sahaja. Kita hendaklah menjaga lisan dengan baik dan bijak supaya dilindungi dan diredhai Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)