Home Kemanusiaan/Motivasi DUNIA SEMAKIN TENAT DENGAN KEJAHILAN DAN ILMU YANG BERKURANGAN – MOHON KEAMPUNAN...

DUNIA SEMAKIN TENAT DENGAN KEJAHILAN DAN ILMU YANG BERKURANGAN – MOHON KEAMPUNAN DAN PERLINDUNGAN DARIPADA ALLAH SWT

472
0

Saban hari kita dikejutkan dengan berita kematian, jenayah yang semakin berleluasa dan maksiat yang semakin berkembang serta bencana besar dan pelbagai bentuk ujian atau musibah terhadap kita semua. Kejadian menyayat hati ini rentetan daripada peristiwa pembunuhan manusia yang sentiasa berlaku di dunia dan Malaysia tidak terkecuali dengan tragedi sedemikian. Perlu diingatkan bahawa peristiwa pembunuhan ini antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat.

Menghampiri kepada saat itu, perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi sedemikian menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Sabda Rasulullah SAW:

“Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: ‘al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.'” (HR Bukhari).

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan.” (HR Al – Albani).

Gambaran pertama hadis ini merujuk kepada kejahilan yang jelas berlaku bermula pada penghujung pemerintahan kerajaan Uthmaniyah iaitu apabila hampir tiada yang mampu membaca dan menulis sehingga mencapai kemuncak kepada kejahilan manusia. Pada ketika itu hanya sedikit yang mendirikan solat dan hampir tiada yang boleh membaca al-Quran, sebelum umat Islam mula bangkit kembali serta ajaran Islam mula berkembang.

Manakala gambaran pembunuhan pula merujuk kepada banyaknya pembunuhan sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh. Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh. Pembunuhan dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah. Pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada membabitkan harta, takhta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Oleh itu, marilah kita sama – sama bertaubat dari segala dosa dan memohon ampun kepada Allah SWT. Kita juga hendaklah memohon keselamatan daripada Allah SWT dan memohon perlindunganNya daripada pembunuhan dan semua fitnah sama ada yang jelas atau tersembunyi. Semoga Allah SWT memelihara kita semua, Aamiin.

Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)