Sejak awal abad ke-20, dunia Islam menghadapi cabaran pemikiran yang hebat datang daripada peradaban Barat, dengan kemunculan cendiakawan-cendiakwan yang berfikiran sekular dan liberal dalam kalangan umat Islam sendiri yang giat mempromosikan idea-idea dan nilai-nilai Barat. Fenomena ini didorong oleh rasa rendah diri yang mencengkam sebahagian umat Islam akibat kemunduran dan keterbelakangan umat Islam yang telah mengalami kejatuhan peradaban dan penjajahan ratusan tahun lamanya.
Sebahagian daripada idea-idea yang diperkenalkan itu ada yang baik dan telah diterima umum, dan sebahagian yang lain bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan akidah serta jati diri umat Islam. Akibat fahaman ini pada umat Islam yang rapuh pegangannya sanggup memihak kepada Barat dalam apa jua isu atau bersikap neutral demi kepentingan diri.
Sebagai contoh, ketika berlakunya isu ketidak perikemanusiaan puak Zionis yang melakukan tindakan terorisme terhadap penduduk Palestin, seharusnya sebagai umat Islam khususnya di Malaysia menunjukkan sikap solidariti terhadap Palestin sebagai satu usaha paling kecil keprihatinan terhadap isu yang menimpa saudara sesama Islam. Solidariti yang dimaksudkan termasuklah memberi bantuan dari sudut kewangan, barang-barang keperluan, membantah kekejaman teroris Israel melalui perhimpunan aman dan sebagainya. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pempengaruh (influncer) yang mempunyai ramai pengikut, sudah tentu boleh menjadikan medium sosial media sebagai platform untuk mengajak pengikut-pengikutnya bersolidariti bersama dan memberi kesedaran terhadap isu ini.
Namun, dukacita terdapat segelintir pempengaruh beragama Islam lebih mengambil sikap neutral dalam isu ini kerana khuatir bakal kehilangan penaja atau apa sahaja yang menjadi kepentingannya. Sikap sebeginilah boleh dianggap sebagai kejayaan fahaman liberal Barat meresapi minda umat Islam secara halus. Tanpa sedar tindakannya yang bersikap neutral ini boleh membawa prejudis terhadap nasib umat Islam khususnya di Palestin. Sedangkan pada ketika inilah pempengaruh perlu menggunakan ‘pengaruhnya’ di media sosial sebagai satu titik mula untuk menyebarkan kebaikan yang boleh juga dianggap sebagai jihad kecil demi mempertahankan agama kerana rangkuman jihad itu luas, bukan hanya setakat pergi berperang.
Oleh sebab itu, dalam apa jua perkara yang kita ceburi, perlu ada ilmu kerana ilmu itulah yang membezakan seseorang itu sama ada ‘kaca atau permata’. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –OKT 2023 dan Jurnal Afkar, Vol 20(2), UTM