Home Kemanusiaan/Motivasi ISU KONFLIK P4L3STIN – ISR43L ADALAH UJIAN KEIMANAN KEPADA UMAT ISLAM

ISU KONFLIK P4L3STIN – ISR43L ADALAH UJIAN KEIMANAN KEPADA UMAT ISLAM

344
0

Dengan berita penolakan lima usul isu P4l3stin oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi semasa Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali ke – 8 pada minggu lalu, ia sudah jelas memperlihatkan bagaimana ketika ini iman keseluruhan umat Islam di seluruh dunia khususnya para pemimpin negara – negara Arab sedang diuji dengan kesombongan dan ketidakpedulian mereka terhadap saudara sesama Islam.

Sehingga kini, angka korban telah mencecah lebih daripada 11,000 orang namun masih lagi tidak ada tindakan yang dilakukan sedangkan rakyat G4z4 semakin dihimpit kesengsaraan. Adalah menjadi suatu keperluan untuk kita bertanya dalam diri di manakah peranan kita saat saudara semuslim diuji dengan musibah? Apakah usaha dan tindakan yang boleh kita lakukan bagi membantu mereka? Konsep persaudaraan yang ditetapkan oleh Allah SWT boleh direnung melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Perumpamaan orang Mukmin dalam hal mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan merasa demam.” (HR Muslim).

Kita perlu sedar bahawa isu P4l3stin bukan hanya melibatkan penganut beragama Islam, malahan ia melibatkan hak dan isu kemanusiaan yang dizalimi. Konflik atau krisis yang terjadi merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mana episod kekejaman melepasi batas atau sempadan yang dibenarkan. Dengan erti kata lain, banyak tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera Isr43l khususnya ialah jenayah perang yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Islam menuntut penganutnya untuk sentiasa memiliki rasa empati dan ihsan terhadap saudara semuslim mahupun manusia secara umumnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (HR Bukhari).

Kesatuan terhadap isu P4l3stin merupakan suatu tanggungjawab yang dipikul sama, bukan pilihan. Sudah tiba masanya kita memantapkan iman kita dan bersama -sama menghadapi isu ini sebagai satu ukhuwah umat Islam. Buktikan kepada dunia yang menentang pembebasan P4lestin dan G4z4 bahawa kita ini kuat.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)