Hidup kita di dunia ini bukan semata-mata untuk mementingkan diri sendiri, malah ia merangkumi keseluruhan kehidupan manusia dan makhluk lain ciptaan Allah SWT. Di zaman sekarang, ramai di antara kita yang mengambil sikap acuh tak acuh kepada keadaan sekeliling termasuklah sesama manusia. Ada juga di kalangan kita yang dengan sengaja mencipta permusuhan walaupun dek kerana isu yang remeh.
Hal itu seharusnya tidak patut berlaku, lebih-lebih lagi di kalangan umat Islam. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah berpesan agar kita semua untuk tidak saling bermusuh sesama saudara seagama kita lebih daripada tiga hari. Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari.” (HR Bukhari: 5718).
Seorang yang bergelar muslim adalah bersaudara dengan muslim yang lainnya. Tidak seharusnya kebencian beraja di dalam diri mereka, permusuhan yang berpanjangan dan sifat dengki tidak patut mempengaruhi akhlak mereka. Memang tidak dapat dinafikan, perselisihan faham dan keterlanjuran kata itu selalunya sukar untuk dielakkan dan sekiranya berlaku juga. Akan tetapi, Islam mengajar kita agar berusaha memperbaiki hubungan yang telah tercalar tersebut dalam tempoh tiga hari kerana membenci dan bermasam muka itu adalah perbuatan yang dilarang serta tidak diredhai Allah dan RasulNya.
Islam mengajar kita supaya mengelakkan diri daripada saling benci membenci, berhasad dengki dan saling belakang membelakangi antara satu sama lain kerana semua perbuatan tersebut akan membawa kepada pintu kejahatan yang amat banyak sekali sehingga boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan di dalam sesebuah masyarakat. Oleh sebab itu, segala pintu kejahatan tersebut perlulah ditutup dengan serapat-rapatnya supaya kita dapat hidup saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS Al – Hujurat: 49)
Sumber: Laman Sesawang SalamWebToday.com