Home Kemanusiaan/Motivasi MASA SEMAKIN SUNTUK PERBAIKILAH DIRI DENGAN MENJADI INSAN YANG TERBAIK

MASA SEMAKIN SUNTUK PERBAIKILAH DIRI DENGAN MENJADI INSAN YANG TERBAIK

193
0

Dunia akhir zaman pada hari ini telah menyaksikan banyaknya kejadian – kejadian yang tidak terduga berlaku. Pembunuhan, kekejaman, penipuan, penyeksaan, fitnah dan segala macam bentuk jenayah telah pun berlaku di hadapan mata kita mahupun yang kita lihat di platform media sosial. Namun, dalam segala kekalutan yang berlaku masih ada sebilangan anggota masyarakat di negara ini memiliki sifat yang baik dan berperikemanusiaan.

Allah SWT mencipta manusia dan mengiktiraf bahawa penciptaan manusia dibuat sebagai sebaik-baik ciptaan. Manusia dicipta dengan rupa paras yang indah serta dikurniakan akal fikiran yang dapat memandu mereka menjalani kehidupan di dunia. Ditambah pula dengan pelantikan nabi dan rasul untuk memimpin manusia menuju jalan yang diredhai-Nya. Begitu juga dengan penurunan kitab suci daripada Allah SWT khususnya al-Quran untuk dijadikan panduan bagi kehidupan manusia. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (QS At – Tin: 4).

Setiap perbuatan yang kita lakukan ketika hidup di dunia ini ada hubung kaitnya dengan kehidupan kita di akhirat kelak. Kita tidak dapat lari dari perbicaraan dan pertanggungjawaban atas setiap ucapan dan tindakan yang telah dilakukan di dunia ini. Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa berusaha menjadi yang lebih baik dari sehari ke sehari. Perintah Allah SWT juga mengingatkan kita untuk mempersiapkan diri menghadapi masa depan sama ada masa di depan di dunia dan lebih-lebih lagi hidup di akhirat nanti.

Untuk menjadi seseorang yang lebih baik, secara ringkasnya ada beberapa perihal yang mesti kita ambil tindakan, cermati dan sentiasa kemas kini dari semasa ke semasa:

1) Perlu menanamkan niat untuk menjadi seseorang yang lebih baik semata-mata kerana Allah SWT.

2) Perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

3) Perlu memilih teman dan sahabat yang terbaik. Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.” (HR Bukhari).

4) Hendaklah berazam untuk memperbanyakkan melakukan kebaikan.

Dalam menjadi seorang yang lebih baik, berusahalah meningkatkan amalan dan menjauhi segala bentuk dosa dan kemungkaran. Dalam masa-masa mendatang ini, pasti cabarannya akan lebih besar dan lebih menguji keimanan. Maka mantapkan ilmu dan iman serta berlumba-lumbalah melakukan kebaikan. Semoga kita semua sentiasa berada dalam bimbingan dan petunjuk Allah SWT sentiasa dan menjadi hambaNya yang soleh dan diredhai.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)