Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH ADAB DALAM PERCAKAPAN – ‘TIKAMAN LIDAH’ LEBIH TAJAM DAN AMAT BERBAHAYA

JAGALAH ADAB DALAM PERCAKAPAN – ‘TIKAMAN LIDAH’ LEBIH TAJAM DAN AMAT BERBAHAYA

360
0

Antara adab seseorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah baik dalam percakapan dan pergaulan dengan mengenepikan perbuatan mencela atau mencaci antara satu sama lain. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu.” (QS An – Nisa: 29).

Ayat di atas menggambarkan maksud ‘membunuh diri’ di sini ialah perumpamaan bagi perbuatan mencela. Perbuatan mencela sesama umat Islam adalah seumpama membunuh diri sendiri. Lihatlah keadaan di sekeliling kita pada hari ini, tidak kira sama ada perempuan atau lelaki tanpa segan silu mencela di antara satu sama lain lebih – lebih lagi di laman sosial. Mereka tanpa rasa malu menghamburkan kata – kata hinaan, kejian, cacian di antara satu sama lain jika ada sesuatu ‘posting’ yang bercanggah dengan pendapat mereka. Perbuatan mencela seseorang Mukmin seperti menusuk atau menikam orang tersebut dengan pedang yang tajam dari arah belakangnya.

Allah SWT melarang orang Mukmin daripada mencela diri mereka sendiri, sama ada dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Dimaksudkan dengan mencela ‘diri sendiri’ ialah mencela sesama umat Islam kerana semua umat Islam itu bersaudara dan seperti satu jasad. Oleh itu, sesiapa yang bertindak mencela saudaranya daripada kalangan umat Islam, bermakna ia mencela dirinya sendiri.

Perlu diingatkan, persaudaraan Islam itu persaudaraan yang hakiki berbanding persaudaraan seibu sebapa. Malah persaudaraan Islam itu lebih utama daripada persaudaraan seibu sebapa, kerana persaudaraan seibu sebapa itu ikatannya hanya di dunia ini sahaja, tetapi persaudaraan Islam pula ikatannya berterusan hingga ke hari akhirat. Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayangnya, kemesraannya dan belas-kasihannya, laksana sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu sakit, seluruh anggota yang lain turut merasa demamnya dan berjaga malam.” (HR Muslim).

Semua umat Islam di dunia ini boleh menganggap dirinya sebagai hamba Allah SWT, kerana mereka dicipta oleh Allah SWT daripada tiada menjadi ada. Akan tetapi belum tentu Allah SWT akan menerima pengakuan seseorang Muslim selagi ia masih belum membuktikan kepatuhannya kepada Allah SWT dan kepada RasulNya. Jadi, jagalah adab percakapan kita sesama Muslim dan jangan sesekali menghina dan mencela kerana sikap itu sangat dibenci oleh Allah SWT. Bahkan Allah SWT mencela dan melaknati orang-orang yang suka mengutuk dan mencela sesama mereka, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap orang yang mencaci dan mengeji.” (QS Al – Humazah: 1).

Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)