Home Kemanusiaan/Motivasi SABAR DALAM UJIAN DAN BERDOALAH KEPADA ALLAH SWT AGAR BEROLEH GANJARAN DARIPADANYA

SABAR DALAM UJIAN DAN BERDOALAH KEPADA ALLAH SWT AGAR BEROLEH GANJARAN DARIPADANYA

368
0

Kehidupan kita di dunia ini tidak akan lengkap jika kita tidak berdepan dengan ujian hidup. Dengan adanya ujian hidup, barulah ia menjadi kayu pengukur terhadap tahap keimanan seseorang kepada Allah SWT. Ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al – Baqarah ayat 155 hingga 156 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Apa yang pasti, sebagai umat Islam, selagi kita bernyawa, selagi itu pelbagai ujian Allah SWT hidangkan buat kita dengan harapan kita sentiasa mengingatkan-Nya. Sentiasa berdoa dengan mendekatkan diri kepadaNya menerusi amal ibadah dan amalan kebaikan lain. Ujian juga adalah mekanisme Allah SWT mendidik jiwa kita supaya tidak mudah terbabas dalam gaya hidup yang bertentangan dengan kehendak agama. Namun, seandainya kita belum dapat membaca isyarat Allah menerusi musibah yang dikenakan kepada Allah bermakna hati kita masih kabur.

Ingatlah, ketika musibah menimpa diri mahupun terhadap ahli keluarga, kita seharus berkeyakinan penuh bahawa setiap apa yang berlaku sudah ditentukan olehNya. Jadi, kita usah cepat berputus asa dan berkeluh kesah apabila dikenakan ujian dalam kehidupan sebaliknya kita perlu menerapkan nilai sabar sambil berdoa supaya ujian musibah itu berakhir. Namun, jangan pula sampai kita menyalahkan Tuhan dengan takdir yang kurang baik, sebaliknya kita perlu reda serta beranggapan bahawa Allah SWT sayangkan kita dan mungkin untuk meminta kita memperbaiki tatacara hidup yang baik berlandaskan kehendak agama yang sebenar.

Dalam melalui ujian hidup, terdapat lima perkara yang perlu kita lalui:

1) Mestilah meyakini bahawa Allah SWT memilihnya untuk ujian itu kerana kemampuannya. Allah SWT juga tidak mengenakan kepadanya sesuatu ujian kecuali untuk memberikan kebaikan kepadanya.

2) Hendaklah dia meneliti kepada sebab Allah SWT menjadikan ujian atau sesuatu musibah itu kepadanya. Jika ujian itu untuk menghapuskan dosanya, maka itu adalah kebaikan baginya kerana dia akan kembali kepada Allah SWT dengan keadaan suci daripada sebarang dosa. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak henti-hentinya bencana (bala) itu mengenai seseorang mukmin, lelaki atau perempuan, baik dalam dirinya sendiri, anaknya atau pun hartanya, sehingga ia menemui Allah dan di atasnya tidak ada lagi sesuatu kesalahan pun.” (HR At – Tirmidzi).

3) Hendaklah meyakini adanya orang lain yang diuji dengan musibah lebih berat. Bahkan, apa yang berlaku kepadanya adalah hasil daripada sifat Rahmah (kasihan belas) Allah SWT kepadanya.

4) Mestilah melihat kepada natijah ujian Allah SWT ke atas dirinya. Betapa ramai orang yang kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat daripada dosa atau bertambah zikirnya setelah melalui ujianNya. Seterusnya menjadikannya seorang yang banyak beribadah dan sentiasa merasai muraqabah (mendekatkan kiri) kepada Allah SWT.

5) hendaklah meyakini bahawa ganjaran sabar dan reda ialah mendapat balasan syurga.

Allah SWT menguji kita dengan nikmat agar dapat menzahirkan rasa syukur mereka, dan menguji mereka dengan mihnah dan ujian adalah untuk menzahirkan sifat sabar mereka. Kita selaku seorang Muslim hendaklah memandang ujian-ujian ini sebagai satu ujian yang diberikan Allah SWT bagi menilai tahap keimanan dan juga penghambaan diri kita terhadapNya. Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran, ketabahan dan ketenangan bagi menghadapi ujian ini. Moga Allah SWT memberikan keringanan dan juga kemudahan dalam setiap urusan kita, menetapkan keimanan dan kekuatan jiwa serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Al – Bakri