Home Hizbut Tahrir 3 TAHAP PERJUANGAN PEMBENTUKAN KHILAFAH GERAKAN HIZBUT TAHRIR YANG PERLU DIAWASI

3 TAHAP PERJUANGAN PEMBENTUKAN KHILAFAH GERAKAN HIZBUT TAHRIR YANG PERLU DIAWASI

767
0

Jika dilihat sekali imbas tanpa mengkaji secara terperinci dari segi penyelewengan ideologi perjuangannya, gerakan Hizbut Tahrir seolah-olah memperjuangkan dakwah Islam yang baik. Penubuhan Hizbut Tahrir dikatakan bertujuan melanjutkan kehidupan Islam dan mengembangkan dakwah ke serata pelosok dunia.

Tujuan utamanya adalah supaya umat Islam berada di sebuah Dārul Islam iaitu satu negara yang mengamalkan sistem Islam dan menjalankan hukum Allah s.w.t walaupun penduduk majoritinya bukan muslim. Manakala Dārul Kufur pula ialah negara yang mengamalkan undang-undang selain daripada syariat Islam walaupun penduduknya majoriti muslim.

Menurut pengasas gerakan Hizbut Tahrir, Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani, mereka telah menetapkan tiga *peringkat utama dalam melaksanakan misi mereka iaitu untuk menegakkan sistem Khilafah Islam di dunia.

Pertama, tahap pembinaan ketenteraan (marÍalah altatsqif). Tahap ini merupakan tahap permulaan untuk membentuk anggota tentera yang mempercayai pemikiran dan metod dakwah Hizbut Tahrir.

Kedua, tahap berinteraksi dengan umat (marÍalah tafa’ul ma’a al-ummah). Tahap ini pula dilaksanakan agar umat Islam turut memikul kewajipan berdakwah kepada seluruh umat manusia dengan yakin dan ikhlas dengan menanamkan ideologi Hizbut Tahrir kepada mereka.

Ketiga, tahap mengambil alih kuasa (marÍalah istilaam alhukm). Tahap ini merupakan tahap yang terakhir dalam tahap menegakkan Khilafah yang diperjuangkan iaitu dengan memastikan pemikiran dan kaedah yang dibawa oleh mereka berdasarkan prinsip-prinsip Islam akan dilaksanakan oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Peringkat ketiga ini lebih kepada pembentukan sistem Khilafah dalam sistem pemerintahan. Bahkan di peringkat ini, meminta pertolongan dari orang-orang kafir juga dibenarkan.

Kesimpulannya, perjuangan sistem Khilafah Hizbut Tahrir bukanlah perjuangan sepertimana perjuangan pembentukan sistem Khilafah  sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang dicanangkan oleh mereka, bahkan pendekatan yang digunakan oleh mereka juga dilihat kurang sesuai dengan keperluan semasa.

Apa yang dicanangkan bagi membangunkan daulah Islam hanyalah laungan semata-mata sedangkan jemaah mereka tidak mengikut cara Islam secara kaffah kerana tidak mementingkan perjuangan untuk membentuk akhlak yang mulia, malah terdapat pemahaman akidahnya yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, Kuis