Home Kemanusiaan/Motivasi SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH MENJADI BENTENG KEAMANAN DAN KEHARMONIAN NEGARA SERTA...

SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH MENJADI BENTENG KEAMANAN DAN KEHARMONIAN NEGARA SERTA MENDAPAT NAUNGAN ALLAH DI PADANG MAHSYAR

1647
0

Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Ia juga secara tidak langsung akan menghindarkan tercetusnya sifat-sifat mazmumah dalam hubungan sesama manusia dan mengelakkan daripada berlakunya konflik dalam masyarakat seterusnya mengekalkan keharmonian.

Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak: “Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku.” (HR Muslim No: 4655)

Oleh itu, setiap daripada kita umat Islam di negara ini harus menunjukkan kasih sayang di antara satu sama lain kerana ia dituntut dalam agama dan juga disayangi Allah SWT. Sememangnya kita digalakkan untuk berkasih sayang sesama saudara seagama dan juga orang bukan Islam kerana di situ terbentuknya perpaduan yang utuh selain menjadi benteng kepada negara aman dan harmoni.

Suatu hari nanti, kita akan berhadapan dengan Allah SWT untuk hari pembalasan kelak dan di situ kita akan menerima balasan di atas segala amal yang dilakukan semasa di dunia. Tidak semua manusia mengalami nasib yang sama di akhirat sana kecuali yang benar-benar taat kepada suruhan Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah. Jadi, berkasih sayang ini juga boleh dikira sebagai amalan yang menggalakkan penambahan pahala di kalangan hambaNya.

Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)