Filem ‘Siksa Neraka’ adalah sebuah garapan dari sebuah komik lama tahun 1980an yang juga berjudul ‘Siksa Neraka’ karya MB Rahimsyah. Sebuah filem hasil produksi dari negara seberang, Indonesia ini mula ditayangkan di negara terbabit bermula 14 Disember yang lalu. Namun, filem ini yang sepatutnya ditayangkan di Malaysia dan Brunei pada pertengahan Januari dilarang untuk ditayangkan susulan terdapat beberapa adegan yang keterlaluan kerana ia terlalu berkait rapat dengan perkara sam’iyyat.
Apa itu sam’iyyat? Sam’iyyat bermaksud segala perkara ghaib yang diketahui hanya melalui penjelasan daripada al-Quran dan hadis Nabi. Sebagai contoh, alam barzakh, padang mahsyar, mizan (timbangan amal), syurga, neraka dan sebagainya. Perkara sam’iyyat ini juga termasuk dalam perkara – perkara aqidah dan juga merupakan salah satu daripada bahagian – bahagian tauhid dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui segala yang berkaitan dengan alam ini sebagaimana firmanNya dalam surah al – Baqarah, ayat 33 yang bermaksud:
“Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.
Kita sudah tahu bahawa perkara – perkara yang berkaitan dengan sam’iyyat ini hanya boleh digambarkan melalui penghayatan yang ditulis di dalam al – Quran dan juga melalui hadis para Nabi. Namun tindakan produksi filem tersebut boleh dikata agak keterlaluan dengan menggambarkan seksaan neraka secara nyata ke layar perak dan mata kasar manusia. Jika ada yang mengatakan ia tidak salah dan mampu memberikan iktibar, ketahuilah melalui al – Quran dan hadis ia telah digambarkan secara nyata dan seperti yang dikatakan sebelum ini hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui segala isi alam ini.
Apabila kita percaya kepada perkara sam’iyyat, sudah semestinya ia memberi kesan pada kehidupan kita seperti beribadah dengan sebaik mungkin semata-mata kerana Allah, timbul kesedaran untuk berusaha meninggalkan maksiat dan dosa, menambah keyakinan terhadap keagungan dan kekuasaan Allah dan sentiasa mengamalkan akhlak dan perilaku yang baik.
Oleh itu, marilah kita memperteguhkan iman kita dalam mempercayai bahawa perkara sam’iyyat ini nyata dan bakal berlaku suatu hari nanti. Cukuplah al – Quran dan hadis sebagai panduan kita untuk merujuk tentang penceritaan di alam akhirat. Beriman kepada perkara-perkara sami’yyat ini memerlukan tahap keimanan yang kukuh kerana ia membicarakan tentang perkara yang di luar batas pemikiran manusia untuk mengkajinya dan di luar kemampuan manusia untuk membuktikannya secara zahiriyah.
Sumber: Portal ILuvislam