Gejala fahaman pelampau agama masa kini telah memberikan impak negatif terhadap citra Islam di peringkat global mahupun tempatan. Berideologikan takfirisme, kumpulan-kumpulan pelampau telah sewenang-wenangnya menghukum kafir terhadap semua pihak yang tidak menyokong perjuangan dibawa oleh mereka termasuk umat Islam. Akibat daripada gejala ini, sering sahaja terjadi kekacauan dan ancaman keselamatan yang serius terhadap keamanan dunia.
Takfirisme atau perbuatan mengkafirkan seseorang atau sekumpulan yang tidak sealiran ini sentiasa berulang dalam sejarah peradaban Islam. Ia ekoran wujudnya kumpulan-kumpulan radikal atau pelampau aliran kiri yang mengambil mudah dalam isu berkaitan dengan akidah umat Islam, contoh terdekat, kumpulan Salafiah jihadiyah (Wahabi Jihad) seperti Daesh, al-Qaeda, Jemaah Jihad Mesir, Jemaah Islamiah, Hizbut Tahrir serta lain-lain kumpulan militan dan radikal termasuk sebahagian pengikut Wahabi di seluruh dunia. Senario ini meninggalkan kesan yang negatif terhadap imej Islam sebagai agama perdamaian dan ‘rahmatan lil-alamin’. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (HR Bukhari dan Muslim).
Wujudnya golongan yang mentakfir individu atau golongan yang tidak sealiran seperti Daesh, al-Qeada, Jemaah Islamiah, Hizbut Tahrir, Wahabi dan lain-lain lagi adalah disebabkan sikap jahil serta kekurangan ilmu pengetahuan dan jauh dari mendapat bimbingan sumber ilmu yang betul dari ulama dan ilmuwan yang betul. Disebabkan mengikut hawa nafsu dan cita rasa peribadi, golongan seperti itu dengan mudahnya mengkafirkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka di samping menyelar dan menjatuhkan nama baik lawan dengan menghukum orang berkenaan sebagai kafir tanpa ‘tabayyun’ berlandaskan ilmu.
Dalam hal ini, kita seharusnya lebih berwaspada dan tidak sekali-kali jatuh di dalam perangkap mereka. Kita juga harus bekerjasama dengan pihak berwajib bagi mencegah fahaman ini dari terus berleluasa di dalam Malaysia. Negara ini tidak memerlukan fahaman yang boleh merosakkan akidah umat Islam hingga boleh membawa kepada perpecahan yang besar.
Sumber: Astro Awani “Jangan mudah mengkafir dan menerakakan orang” (26 Disember 2013) Jurnal Peradaban, Jil. 11, 43-61 (2018) “gejala takfirisme dalam gerakan ekstremisme agama semasa”, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya