Home LTTE PENGGANAS LTTE KEMBALI TUNJUK BELANG, MASYARAKAT MULA RESAH

PENGGANAS LTTE KEMBALI TUNJUK BELANG, MASYARAKAT MULA RESAH

553
0

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan ugutan oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 akan menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Kejadian tersebut memperlihatkan bahawa perjuangan LTTE sebenarnya masih berkembang di negara ini meskipun LTTE telah diharamkan dan tangkapan beberapa anggotanya pernah dibuat sebelum ini. LTTE di negara ini dipercayai digerakkan sepenuhnya oleh individu tertentu dengan menggunakan platform parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan supaya pergerakan mereka sukar dikesan.

Mengikut sejarah, gerakan bersifat militan dan radikal masyarakat Tamil ini ditubuhkan adalah kesan daripada rasa tidak puas hati sebahagian masyarakat Tamil terhadap sikap dan dasar-dasar yang diamalkan oleh pihak kerajaan Sri Lanka. Sehubungan itu, sebahagian masyarakat Tamil yang tidak berpuas hati melihat bahawa perjuangan bersifat ‘lembut dan berdiplomasi’ tidak akan membawa mereka mencapai apa yang mereka inginkan.

LTTE menjadi kumpulan militan yang digeruni terutamanya kerana kemampuan mereka mewujudkan sebuah unit yang dikenali sebagai ‘Black Tiger’ yang menjadikan badan mereka sebagai senjata dan tidak melihat kematian mereka sebagai ‘that-kolai’ (membunuh diri), sebaliknya sebagai ‘that-kodai’ (sebagai hadiah) kepada perjuangan mereka. Perlu diingat bahawa kumpulan LTTE ini merupakan kumpulan pengganas yang pertama dalam sejarah kumpulan yang melakukan serangan bunuh diri terhadap sasaran mereka.

Meskipun organisasi LTTE disahkan tamat operasinya pada tahun 2009 oleh kerajaan Malaysia dan telah disenarai hitamkan sebagai kumpulan pengganas, namun perjuangan LTTE ini masih disokong oleh sebilangan masyarakat India keturunan Tamil terutamanya daripada keturunan Tamil yang dibawa oleh kerajaan British dari Selatan India sebelum merdeka dahulu.

LTTE ini dilihat boleh mendatangkan ancaman keselamatan yang serius bukan sahaja gerakan LTTE ini mempunyai jaringan di peringkat antarabangsa, malah kumpulan ini juga mampu melaksanakan agenda keganasan secara sistematik dan berkeupayaan mencetuskan konflik perkauman yang boleh membawa kepada rusuhan kaum di negara ini.

Justeru itu, pihak keselamatan khususnya pihak PDRM perlulah mengambil tindakan yang tegas terhadap LTTE yang dilihat mampu memberi kesan negatif kepada negara bagi mengelakkan Malaysia dijadikan medan konflik.

Jika dibiarkan LTTE wujud di negara ini, mereka akan menjadikan negara ini sebagai tapak untuk melancarkan serangan dan aktiviti keganasan terhadap musuh mereka iaitu kerajaan Sri Lanka dan India.

Hal ini adalah sangat bahaya kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara Malaysia dengan negara berkenaan dan secara tidak langsung, ia akan menimbulkan kegusaran masyarakat terhadap keselamatan rakyat di negara ini.

Sumber: Journal of the Department of History, UM (Vol.14, No.14, 2017) dan Sinar Harian, 14 Oktober 2019.