Home Uncategorized TABARRUJ ZAMAN MODEN MENAYANGKAN GAYA HIDUP ISLAMIK DI MEDIA SOSIAL DENGAN TUJUAN...

TABARRUJ ZAMAN MODEN MENAYANGKAN GAYA HIDUP ISLAMIK DI MEDIA SOSIAL DENGAN TUJUAN MERAIH PERHATIAN

338
0

Jika sebelum ini orang yang bertabarruj ini hanya boleh dilihat apabila seorang wanita memperagakan sesuatu yang berlebihan di khalayak ramai secara langsung. Namun, pada hari ini, tabarruj ala moden sudah pun berlaku. Bagaimana? Dengan hanya menayangkan status dan posting di laman media sosial tentang kehidupan dan perhiasan diri kononnya secara islamik tetapi berlebihan semata – mata untuk meraih perhatian dan ‘like’ sudah cukup kita dianggap bertabarruj secara sengaja ataupun tidak.

Umum mengetahui, hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita. Firman Allah SWT:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (QS al-A’raf: 32).

Antara contoh tabarruj moden yang dapat dilihat pada hari ini adalah ‘content’ di dalam masjid seolah – olah sedang beribadah namun dimuatnaik dalam keadaan ‘selfie’ dengan tujuan untuk menarik perhatian. Tidak sekadar itu sahaja, ‘content’ pemakaian jubah dan niqab oleh sebahagian Muslimah dan memperagakannya di platform media sosial dengan tujuan untuk menuai pujian dan mendapat rating tertinggi turut bertebaran dan menjangkiti umat Islam sejak kebelakangan ini.

Bukankah Islam telah memberi garis panduan dalam berhias? Bersederhana dan tidak menjolok mata. Malah Allah SWT telah memberi peringatan di dalam surah al – Ahzab, ayat 33 yang bermaksud:

“…dan janganlah kalian bertabarruj dan seperti tabarruj orang-orang Jahiliyah yang dahulu…”

Maka dari itu, jauhilah tabarruj yang dilarang oleh syariat. Sungguh wanita yang keluar dengan penampilan yang berlebihan sebenarnya dia melemparkan dirinya ke dalam api neraka, sedangkan wanita yang menghiasi jiwanya dengan kesopanan dan berhias sesuai dengan tuntutan Islam adalah wanita yang menempatkan dirinya pada tempat yang mulia.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan