Hizbut Tahrir adalah sebuah pergerakan yang bergerak dengan penuh rahsia meskipun akhir-akhir ini pergerakan Hizbut Tahrir mula menonjolkan dirinya dengan melakukan dakwah serta menyertai aktiviti-aktiviti demonstrasi bersama kumpulan radikal lain di seluruh dunia. Hizbut Tahrir dikatakan mempunyai struktur yang khusus bermula daripada kumpulan-kumpulan terkecil yang disebut sel atau da’ira iaitu mengandungi 5 – 7 anggota.
Hizbut Tahrir mengamalkan struktur organisasinya yang mirip kepada struktur organisasi kumpulan salafiah jihadiah. Apakah mereka juga mempunyai struktur militan yang disembunyikan dan struktur dakwah yang terbuka seperti kebanyakan organisasi militan lain?
Beberapa ulama yang terkenal memberikan pandangan mereka tentang kesesatan Hisbut Tahrir, antaranya:
Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani, seorang ulama hadis dari Syria dalam bukunya yang menjelaskan bahawa Hisbut Tahrir adalah sebuah pertubuhan neo-Mu’tazilah (Muktazilah baru). Begitu juga dengan sesetengah ulama dari Arab Saudi dan Mesir.
Antara alasan yang diberikan adalah Hizbut Tahrir memahami hadis bukan dengan pemahaman Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat tetapi mengutamakan akal dalam memahami agama dan menolak hadis ahad dalam masalah akidah.
Sementara itu, Sheikh Yusof Al-Qardawi pula menjelaskan, Hizbut Tahrir terlalu memfokuskan kepada agenda untuk mewujudkan Khalifah Islamiyah, sebaliknya melupakan agenda utama untuk membebaskan umat dari syirik, khurafat, bid’ah dan fanatisme. Begitu juga Hizbut Tahrir melupakan pembentukan akhlak, pemikiran yang Islami, mengabaikan agenda dalam membangun institusi keluarga, serta berusaha untuk menyelesaikan masalah umat yang ketinggalan dan kemunduran dalam segenap aspek kehidupan.
Oleh sebab itu, di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan telah mewartakan atau membuat keputusan pengharaman pertubuhan Hizbut Tahrir ini. Sehubungan itu, mana-mana individu umat Islam yang terlibat dengan kegiatan gerakan Hizbut Tahrir boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sumber: Artikel Gerakan Hizbut Tahrir di Malaysia