Tangan dan lisan adalah sebahagian daripada anggota tubuh yang Allah berikan, untuk membantu manusia menerima dan memberi kebaikan. Demikian juga kaki, mata, telinga dan kurniaan yang lain. tetapi tangan dan lisan itu unik, hingga keIslaman seorang Muslim dikaitkan dengan bagaimana kedua-dua diguna pakai.
Sabda Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya” (HR Bukhari No: 10)
Daripada hadis di atas, kita dapati bahawa Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia dengan menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain. Selain itu, Islam juga menuntut kita agar memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, mem “forward” kan sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.
Namun, amat mudah pada hari ini manusia melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, Whatsapp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawabkan di hari akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.”
Oleh itu, marilah kita mengambil iktibar dan memperbetulkan semula diri sendiri dengan bertaubat kepada Allah dan meminta ampun kepada orang-orang yang pernah disakiti dahulu agar kita beroleh ketenangan di dunia dan akhirat. Seorang Muslim yang sempurna mestilah menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya dan tidak sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang yang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau dengan apa jua sekalipun. Maka, jadilah seorang Muslim yang baik juga ialah apabila dia mampu menjaga keselamatan orang lain selepas dirinya berhijrah meninggalkan perkara-perkara buruk yang dimurkai Allah SWT.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)