Home Kemanusiaan/Motivasi DUNIA AKHIR ZAMAN: WASPADA DENGAN PENYAKIT JAHIL AGAMA

DUNIA AKHIR ZAMAN: WASPADA DENGAN PENYAKIT JAHIL AGAMA

212
0

Akhir zaman ini terlalu banyak sangat pihak yang ingin memperkatakan berkenaan isu yang menyentuh hal ehwal agama. Kadang kala apa yang diperkatakan itu dilihat terlalu merapu hingga dirasakan keluar dari landasan sebenar yang diajarkan oleh Islam. Masing-masing seolah-olah ‘mahu’ mempamerkan keilmuan sendiri, malah tidak kurang juga orang awam yang bukan ahli dalam bidang agama turut terjebak dalam isu agama sehingga menimbulkan kekeliruan pada pemahaman masyarakat awam.

Benar seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

‘Sesungguhnya, antara tanda kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan akan merata, arak akan diminum dan zina akan muncul secara terang-terangan.'” (HR Bukhari dan Muslim).

Sebelum ini ilmu berkenaan agama lebih tertumpu kepada pengajaran dan kuliah di masjid dan surau semata-mata namun kini media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan pelbagai saluran media sosial yang lain turut menampilkan peranan dalam mengaktifkan sumber pendidikan dalam agama. Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kita mengikuti perkembangan dan sama mara dalam kerancakan media sosial dalam ilmu agama. Sungguh pun demikian, sebagai umat Islam dan sebagai pengguna media sosial yang berhemah dan bijaksana, kita seharusnya berhati-hati dengan sebarang sumber maklumat dan ilmu yang disalurkan. Allah SWT menegaskan di dalam surah Al-Nahl, ayat 43 bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan Rasul-rasul sebelum kamu (Wahai Muhammad). Melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Bahkan Rasulullah SAW memberi amaran bahawa memperkatakan ilmu tanpa ilmu boleh menyesatkan dan hal ini boleh kita kesan melalui sebuah hadis yang disampaikan oleh Amru bin al-As yang beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya mengenai sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, janganlah kita biarkan ‘penyakit’ kejahilan mengenai agama ini semakin berleluasa. Rujuklah dengan mana – mana pakar agama yang bertauliah agar informasi yang kita terima itu tidak menjadikan kita jauh dari landasan agama yang sebenar. Ingatlah, janganlah kita merasa pandai sebaliknya kita hendaklah pandai merasa.

Sumber: Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad, Universiti Islam Selangor (UIS)