Cuba kita bayangkan kalau tiang sebuah rumah sengaja dibangunkan berjarak jauh dan berlompong tanpa kukuh, maka akan runtuhlah rumah itu. Begitu juga halnya dengan saf dalam solat, apabila kita dengan sengaja melompongkan saf dalam solat, maka akan runtuh jugaklah solat kita.
Ini seperti yang tular di media massa bagaimana penjarakan yang dilakukan oleh para jemaah wanita semasa melakukan solat sunat terawih di sebuah masjid. Kedudukan saf yang tidak sama ketika menunaikan solat berjemaah merupakan salah satu kejahilan yang merugikan kerana saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada solat fardu atau sunat. Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.” (HR Bukhari).
Saf yang sama adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat tetapi tidak membatalkannya. Bagaimanapun, Rasulullah SAW ialah suri teladan bagi umat Islam sama ada lelaki atau wanita. Oleh itu, amat wajar untuk kita mengikut sunnah Baginda dalam setiap bidang kehidupan terutamanya dalam ibadat.
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan. Barangsiapa yang menyambungnya (saf) maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya.” (HR Abu Daud).
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa meluruskan serta merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih di bulan Ramadan ini supaya mendapat pahala yang maksimum. Menyama dan merapatkan saf tidak wajar diabaikan kecuali di dalam keadaan terpaksa seperti untuk mengelakkan jangkitan penyakit. Contohnya seperti ketika Covid-19 melanda dunia sebelum ini.
Semoga segala ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadan yang mulia ini diterima oleh Allah SWT dan mendapat pahala lumayan sebagaimana dijanjikan olehNya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan