Kemunculan dan penularan perkembangan ajaran sesat adalah kerana kejahilan terhadap agama Islam itu sendiri. Kejahilan tersebut bukan sahaja daripada pengikut tetapi juga melibatkan ketua atau guru ajaran sesat itu sendiri.
Gejala ajaran sesat ini kebanyakannya dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat, kemahsyuran, kekayaan, bermotifkan seks serta kepercayaan lama yang mengandungi unsur-unsur animisme dan dinamisme yang dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Buddhisme, Neo-Platonisme dan lain-lain lagi.
Terdapat juga faktor penggunaan ayat-ayat al-Quran bagi menyokong sesuatu amalan atau ajaran tetapi penggunaan ayat-ayat al-Quran tersebut tidak mengikut tafsiran yang betul tetapi ditafsir supaya selari dan sesuai dengan tujuan ajaran tersebut. Bagi masyarakat awam yang jahil dalam agama, mereka akan mudah menerima apa sahaja yang dikatakan datang daripada al-Quran tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Apatah lagi jika guru atau pemimpin ajaran tersebut dilihat mempunyai kelebihan atau keajaiban tertentu yang didakwa sebagai keramat atau ketinggian martabatnya berbanding orang awam.
Oleh itu, perlulah diketahui bahawa ajaran sesat adalah fenomena yang mampu mengancam keharmonian masyarakat Islam di Malaysia. Hal ini disebabkan ajaran sesat akan membawa unsur-unsur negatif dan kepercayaan karut sehingga menganggap kumpulan mereka adalah kumpulan terbaik yang dipilih oleh Allah, dijamin syurga dan menganggap orang lain yang tidak bersama mereka sebagai musuh dan orang yang berdosa. Malah sesetengah ajaran sesat mengajak pengikutnya untuk ‘memerangi’ kerajaan yang dianggap ‘thaghut’ (kafir) dan membenci orang-orang bukan Islam yang dianggap sebagai penghuni neraka. Bagi Malaysia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan agama, sudah semestinya perkembangan ajaran sesat ini akan mengancam keselamatan negara dan menggugat keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Susulan itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa mengharamkan beberapa ajaran yang dianggap bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini. Pengharaman ini termasuklah juga pengharaman terhadap pertubuhan Hizbut Tahrir iaitu suatu gerakan sesat yang semakin berjaya mempengaruhi masyarakat awam di negara ini terutamanya golongan muda yang menuntut di Insitusi Pengajian Tinggi. Langkah seperti ini adalah langkah yang tepat dan sangat perlu diikuti oleh negeri-negeri lain bagi menyekat gerakan atau ajaran yang menyalahi akidah dan menjejaskan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Satu perkara yang berbahaya dalam perkembangan ajaran sesat ini, individu yang terpengaruh akan menjadi begitu taksub dan sanggup ‘menyembah’ ketua mereka serta sanggup mengorbankan diri untuk mengikuti apa saja arahan ketua ajaran sesat tersebut yang dianggap suci demi mendapat ganjaran atau pahala yang dijanjikan. Sekiranya perkara ini tidak disekat, akan dikhuatiri pengikut ajaran sesat ini boleh bertindak ganas dan melampau batas untuk mencapai tujuan mereka, yang akhirnya bukan sahaja merosakkan akidah malah mendatangkan kucar-kacir terhadap keselamatan negara.
Sumber: Kertas Seminar Penerangan Ajaran Salah dan Isu Semasa, DUN Selangor, 2008.