Home Syiah HAKIKAT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ADALAH PEGANGAN YANG BENAR BERBANDING HAKIKAT KESESATAN...

HAKIKAT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ADALAH PEGANGAN YANG BENAR BERBANDING HAKIKAT KESESATAN SYIAH

70
0

Peristiwa-peristiwa sejarah masa silam dan realiti masa kini memperlihatkan bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan bertapak dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Sekalipun kita mengamalkan pegangan ASWJ, namun kadang kala perkara yang sudah biasa diamalkan itu sering dilupakan sehingga menyebabkan berlaku kecelaruan dan akhirnya tidak dapat membezakan antara ‘khilaf’ atau pegangan menyesatkan dan menyeleweng daripada akidah yang benar.

Maka daripada sinilah timbul desas-desus yang dipanggil ‘pendekatan’ antara ASWJ dan Syiah yang pada hakikatnya jika diperhalusi merupakan satu usaha ‘mendekatkan’ atau ‘kompromi’ antara yang hak dengan yang batil. Golongan Syiah mendakwa kononnya mereka adalah sebahagian daripada Islam, namun hakikatnya ajaran Islam yang berpegang kepada ASWJ tidak pernah sesekali mengkafirkan para Sahabat Nabi SAW, taksub kepada Saidina Ali dan ahlul bait, tidak beriman kepada Kitab Allah SWT sebaliknya mempunyai kitab sendiri, mencederakan diri sebagai tanda menghayati peristiwa Karbala dan sebagainya.

Berdasarkan perkara tersebut, Syiah bukanlah sebahagian daripada mazhab dalam Islam, sebaliknya menjadi ajaran sesat dan memesongkan akidah. Para ulama turut menyimpulkan bahawa kepentingan pegangan ASWJ adalah sama dengan kepentingan Islam itu sendiri dalam melaksanakan tuntutan Ilahi supaya kita berpegang dengan agama yang benar dan diredhai olehNya serta tidak berpecah belah. Mempertahankan pegangan ASWJ bermakna mempertahankan kesucian Islam yang diamanahkan kepada kita sebagai umat Muhammad SAW.

Sumber: Buku Mengenal Hakikat Syiah –Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan