Home Liberalisme 4 INTIPATI AJARAN ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN – SEKULARISME, INKLUSIFISME, PLURALISME DAN...

4 INTIPATI AJARAN ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN – SEKULARISME, INKLUSIFISME, PLURALISME DAN HERMENEUTIK

947
0

Istilah Islam Liberal dipromosikan oleh penulis-penulis Barat mahupun orang Islam yang terkesan dengan pemikiran-pemikiran kebebasan mutlak tanpa sekatan baik dalam bidang agama, ekonomi, sosial, politik dan perundangan. Intipati ajaran dan fahaman Islam Liberal ini teradun dalam empat komponen utama iaitu sekularisme, inklusifisme, pluralisme dan hermeneutik.

Sekularisme adalah fahaman yang memisahkan antara agama dengan hal-hal keduniaan. Bagi seorang Muslim yang sekular, mereka akan menolak peraturan syariah Islam. Mereka tidak mahu terikat dengan peraturan syariah atas dasar kebebasan dan hak individu dalam menjalani kehidupan di mana bagi mereka urusan agama dan urusan dunia tidak boleh dicampur aduk. Pendokong sekularisme mendakwa bahawa undang-undang Tuhan sesuai sewaktu diwahyukan dan tidak sesuai lagi buat masa kini.

Inklusifisme atau Islam inklusif adalah pemikiran Islam yang bersifat terbuka yang menerima apa saja nilai-nilai baik tanpa mengira daripada mana ia datang. Sedangkan nilai baik tersebut ditafsir dan dilihat semata-mata berdasarkan akal. Oleh itu, golongan Islam liberal yang berfikiran inklusifisme adalah mereka yang terbuka menerima kepelbagaian yang dinilai baik dari segi kacamata akal semata-mata tanpa merujuk kepada ketetapan syariat Islam. Walaupun dalam Islam itu sendiri memang ada ciri inklusif yang menerima kepelbagaian, namun ia mesti tertakluk kepada batas-batas syariat yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, bukan mentafsir keterbukaan secara bebas mengikut logik akal semata-mata.

Pluralisme pula adalah pemahaman bahawa semua agama adalah sama yang membawa kebaikan kepada penganutnya. Oleh itu golongan Islam liberal melihat apa-apa kebaikan daripada agama lain juga boleh diambil untuk diamalkan dan perlu bertoleransi untuk mewujudkan kehidupan harmoni secara bersama dengan bertolak ansur dalam semua aspek kehidupan. Sedangkan Islam tidak menganggap semua agama sama dan toleransi hanya terbatas mengikut ketetapan syariat.

Sementara ciri terakhir Islam liberal ialah menafsirkan al-quran berdasarkan konsep hermeneutik. Dalam hal ini golongan Islam liberal berfahaman bahawa al-quran perlu ditafsir semula mengikut konsep hermeneutik iaitu berdasarkan disiplin ilmu penafsiran moden Barat yang menafsirkan sesuatu teks atau perkara (dalam al-quran) berdasarkan konteks sejarah, bahasa, budaya, ilmu sosial dan keadaan semasa. Oleh itu, golongan Islam liberal memahami bahawa al-quran perlu ditafsir semula berdasarkan disiplin ilmu hermeneutik Barat yang liberal dan menyatakan penafsiran oleh ulama tafsir yang dulu adalah jumud dan tidak sesuai lagi di zaman moden ini.

Berdasarkan ciri-ciri tersebut, mereka yang terpengaruh atau mendukung fahaman Islam Liberal ini mudah dikesan memandangkan mereka semakin berani menyuarakan secara terang-terangan dan terbuka. Malah aliran ini semakin berkembang melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain bergerak secara individu yang disokong oleh mereka yang terlibat dalam politik serta bekerjaya profesional dengan menyalurkan pandangan liberal mereka melalui platform media tanpa jaringan.

Perkembangan aliran ini memerlukan perhatian yang serius kerana jika dibiarkan berkembang tanpa penjelasan dan penentangan yang sewajarnya, kehadirannya akan menjadi barah yang sukar dirawat kemudian hari apalagi aliran ini telah terbukti membawa fahaman yang jelas bertentangan dengan akidah dan syariat Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Seminar ‘Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa’, 2019, Kolej Universiti Perguruan Ugama Sri Begawan, Brunei.