Walaupun sudah seminggu insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlaku, namun kesannya masih terasa hingga ke hari ini. Manakan tidak, insiden yang meragut 10 nyawa para perajurit negara kita itu merupakan detik hitam yang paling mendalam di kala TLDM hendak merayakan ulangtahun ke-90 nya.
Namun, apa yang paling mendukacitakan, ada sebilangan daripada kita yang masih lagi kurang empati dan sensitif terhadap isu ini. Seperti yang berlaku baru – baru ini di mana terdapat segelintir individu yang menyiarkan ciapan di aplikasi X dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya sehingga mengguris hati para waris mangsa yang terbabit dalam nahas. Walaupun ada yang sudah membuat permohonan maaf dan ditahan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, namun bekas luka yang ditinggalkan akibat perkataan yang menghiris hati tetap akan segar dalam ingatan selama – lamanya.
Seharusnya sebagai umat Islam, kita harus mendoakan perkara yang baik untuk saudara seagama dan seiman kita. Perbuatan seperti ini bukan sahaja menyakitkan hati, bahkan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri. Perbuatan menghina kepada manusia atau apa sahaja ciptaan Allah SWT amatlah dilarang dan ia tergolong dalam salah satu dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT selagi mana si penyebar cerita itu tidak meminta maaf kepada individu yang dihinanya atau warisnya. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (QS Al – Ahzab: 57 -58).
Allah SWT juga sudah mengutuk bagi orang yang menyakiti atau menghina-Nya. Laknat atau kutukan itu merupakan pengusiran hamba daripada rahmat di dunia dan juga di akhirat. Manakala, ketika mana Allah SWT menyebutkan sesudah itu berkenaan orang yang menyakiti orang beriman, dan Allah SWT tidak menyebutkan kutukannya dalam dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana manusia tidak dianggap sebagai kafir apabila saling menghina dan menyakiti antara satu sama lain dengan cara mengutuk, menuduh, mencela dan seumpamanya.
Oleh itu, jagalah perkataan yang keluar dari mulut kita. Berkatalah dengan perkataan yang baik ataupun diam itu adalah tindakan yang terbaik. Jangan kerana pulut santan binasa, jangan kerana mulut kita badan kita pula yang menerima habuannya. Berhati – hatilah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak sampai ke tahap yang menghina. Sabda Rasulullah SAW:
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Bukhari).
Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri