Home Kemanusiaan/Motivasi BERSIKAPLAH DENGAN JUJUR KERANA JUJUR ADALAH JALAN KE SYURGA DAN ELAKKAN...

BERSIKAPLAH DENGAN JUJUR KERANA JUJUR ADALAH JALAN KE SYURGA DAN ELAKKAN BERDUSTA KERANA DUSTA ADALAH JALAN KE NERAKA

1216
0

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.” (HR Bukhari No: 5629)

Islam adalah agama yang menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa berlaku benar dan menjauhi kedustaan dalam setiap perkara mahupun perkataan, perbuatan serta pekerjaan. Seseorang Muslim yang sentiasa melakukan kebenaran, maka kebaikannya akan bertambah dan dosanya akan dihapuskan, manakala dia akan lebih dekat kepada syurga. Sebaliknya bagi seseorang yang sentiasa berdusta, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan malah dosanya semakin bertambah hari demi hari dan menjadi penyebab dia dimasukkan ke neraka.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa memelihara setiap tutur kata lisannya. Ucapkanlah hanya perkataan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta. Hindari berdusta kerana ia akan menghapuskan kebenaran.

Oleh itu, semua Muslim dituntut wajib berlaku jujur dan amanah dalam kehidupan mereka. Ini kerana sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang dan akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia menjadi orang yang soleh dan menuju ke syurga. Sementara sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (QS Al-Mukmin: 28)

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)