Kecanggihan teknologi pada hari ini adalah satu keperluan bagi umat manusia dalam menghubungkan jarak yang jauh. Akan tetapi, ada juga segelintir mereka yang mengambil kesempatan di atas kecanggihan teknologi ini dengan mencari dan menyebarkan aib manusia di sekelilingnya. Dalam kita tidak sedar, kecanggihan teknologi ini sebenarnya boleh menyebabkan umat Islam itu disoal di akhirat kelak jika apa yang disampaikan atau disebarkan itu bersifat fitnah dan boleh mengaibkan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR Tirmizi: 2032).
Tidakkah kita merasa takut dan gentar dengan amaran Rasulullah SAW seperti hadis di atas ini? Tidak takutkah kita dengan balasan Allah SWT yang akan membuka aib kita sekiranya kita membuka aib orang lain? Sebagai umat Islam, kita sudah pasti tahu setiap perbuatan dan perilaku kita ini ada kifarahnya di kemudian hari. Jika kita berbuat baik, maka baiklah balasannya. Jika tidak, maka kejadian sebaliknya akan berlaku. Disebabkan itu wujudnya ayat “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”
Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Daripada Jarir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“…dan barang siapa yang memulakan dalam Islam suatu sunah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (HR Muslim: 1017).
Oleh itu, adalah wajib bagi umat Islam yang beriman memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Ini seperti hadis Rasulullah SAW:
“Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat.” (HR Ibnu Majah).
Sumber: Harian Metro (11 Februari 2019)