Home Liberalisme AWAS DAKYAH ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN!!! MEREKA MEMPERTIKAIKAN KREDIBILITI ULAMA DAN MENUDUH...

AWAS DAKYAH ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN!!! MEREKA MEMPERTIKAIKAN KREDIBILITI ULAMA DAN MENUDUH ULAMA MENYEBABKAN MASYARAKAT JUMUD DAN MUNDUR (MENYAMAI TAKTIK GERAKAN LIBERALISASI DALAM AJARAN KRISTIAN YANG MEMPERTIKAIKAN GOLONGAN GEREJA)

770
0

Fahaman liberal menyempitkan ruang beragama sehingga mereka memisahkan antara agama dengan politik, ekonomi mahupun pendidikan. Bagi penganut Islam Liberal, agama hanyalah sesuai di rumah-rumah ibadat dan acara-acara keagamaan tertentu sahaja, bukannya untuk keseluruhan kehidupan.

Dalam konteks Islam Liberal pula, terdapat kelompok umat Islam yang cuba membawa aliran liberalisme tajaan Barat dengan nama Islam liberal. Misinya untuk membebaskan umat Islam daripada dibelenggu oleh fahaman agama mengikut tafsiran golongan ulama. Bagi mereka, golongan ulama menyempitkan keupayaan untuk berfikir dan menghalang kebebasan individu kerana terikat dengan fahaman yang jumud.

Golongan Islam liberal tersebut seolah-olah mahu menyamakan konteks sejarah yang berlaku dalam gerakan liberalisasi agama Kristian di Barat satu ketika dahulu di mana mereka menolak pandangan paderi-paderi gereja dan membebaskan diri daripada  pemikiran orang agama yang dianggap jumud dan terkongkong sehingga akhirnya  mereka percaya dengan melakukan sedemikianlah yang menyebabkan mereka menjadi maju. Mereka juga mahu menggunakan taktik yang sama dalam Islam untuk menolak apa sahaja bentuk autoriti agama yang dibawa oleh ulama dan menganggap perkara sama boleh berlaku terhadap agama Islam.

Jika kita teliti dengan lebih mendalam, sebenarnya terdapat perbezaan yang amat besar antara ulama Islam dan golongan gereja. Ulama Islam berfikir dan bertindak berasaskan ilmu dari sumber yang benar iaitu wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Manakala golongan gereja pula berasaskan kedudukan golongan mereka yang dianggap suci dan terpelihara. Malah institusi gereja dianggap sebagai ‘infallible’ iaitu golongan suci yang tidak melakukan kesalahan. Mereka juga boleh menentukan apa sahaja bentuk kebenaran dan mengampunkan dosa sesiapa sahaja bagi pihak Tuhan. Itulah perbezaan yang amat besar sekali berdasarkan konteks sejarah Kristian dan Islam.

Jika dilihat keadaan sekarang, dengan adanya sosial media, semua orang boleh memperolehi pelbagai maklumat tanpa dikawal, interaktif, pantas dan menjadikan keadaan lebih terbuka. Apa yang lebih membahayakan ialah ia menawarkan sumber yang pelbagai.

Hal tersebut telah membuka ruang kepada fahaman liberal mengembangkan pengaruhnya untuk berkongsi matlamat yang sama iaitu keterbukaan dan kebebasan. Kita boleh lihat hari ini, manusia yang terpengaruh dengan fahaman Islam Liberal ini  juga seperti sudah hilang kesopanan dan adab kerana dengan berani telah mula mengkritik seseorang ulama yang memang diiktiraf pakar dalam bidang agama, melalui laman sosial yang ada.

Oleh itu, semua umat Islam diseru supaya janganlah terikut dengan taktik golongan Islam Liberal tersebut yang berhujah berdasarkan logik akal semata-mata dan memberi alasan untuk mencapai kemajuan hidup, sedangkan ianya sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Sumber: Harian Metro, 29 Ogos 2018.