Sudah menjadi kelaziman bagi umat Islam di negara ini untuk menziarahi pusara para kaum keluarga selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri. Akan tetapi, tahukah kita tentang adab dan hukum apabila menziarahi pusara di pagi raya Aidilfitri? Hukum menziarahi pusara adalah sunat bagi kaum lelaki menurut ijma’ ulama. Pada awalnya Rasulullah SAW melarang umat Islam daripada menziarahi tanah perkuburan tetapi kemudian Baginda membenarkannya berdasarkan sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Hasib yang bermaksud:
“Dahulunya aku pernah melarang kamu semua daripada menziarahi kubur tetapi sekarang ziarahilah kubur kerana hal tersebut akan mengingatkan kamu tentang akhirat.” (HR At – Tirmidzi).
Namun, bagi kaum wanita pula terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafie. Sebahagian mereka berpendapat bahawa makruh bagi kaum wanita menziarahi tanah perkuburan kerana ditakuti mereka hadir dengan tabarruj (berhias-hias), menangis-nangis, meraung-raung atau meninggikan suara lantaran hati mereka itu lembut, banyak bersedih dan tidak kuat untuk menanggung musibah. Sebahagian pendapat yang lain menyebut bahawa diharuskan kepada kaum wanita untuk menziarahi tanah perkuburan jika aman daripada fitnah.
Bukan sekadar hukum, dalam menziarahi pusara juga ada adab – adab yang perlu diikuti mengikut syarak yang ditetapkan oleh agama. Antara adab – adab dalam menziarahi kubur bagi umat Islam adalah:
1) Memperbetulkan niat. Adab ziarah kubur yang pertama adalah niat dengan hati yang tulus dan ikhlas. Semua masyarakat yang datang ziarah harus menghadirkan hatinya saat mendatangi makam. Datanglah dengan tujuan yang baik kerana ia dapat memberi manfaat kepada si mati.
2) Berwudhuk. Sebelum menziarahi kubur, disunatkan untuk berwudhuk sebelum ke tanah perkuburan. Para ulama memberikan perhatian tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab-kitab iaitu kebersihan adalah sangat penting untuk dijaga. Ini membuktikan bahawa kebersihan itu sangat dititikberatkan dalam semua hal khususnya dalam ibadah. Dari Othman bin Affan katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian dia menyempurnakan wudhuknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga dari kuku-kukunya.” (HR Muslim).
3) Memberi salam. Rasulullah SAW pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan untuk memberi salam dan berdoa dengan berkata:
“Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin bahawa kami juga insya-ALLAH akan mengikut kamu apabila sampai giliran. Semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekalian.” (HR Muslim).
4) Menutup aurat.
5) Tidak meratapi dan meraung.
Demikianlah antara adab-adab yang perlu dilakukan apabila menziarahi kubur. Namun ziarah kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari pengkebumian atau setiap kali menjelangnya hari raya sahaja. Yang menjadi sunnah ialah dengan menjadikan amalan menziarahi kubur itu sebagai suatu usaha orang yang hidup untuk mengingati orang yang telah mati. Ia juga mengingati kita tentang kematian dan membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadat sebanyak mungkian kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati. Diharapkan dengan melakukan amalan ziarah kubur ini dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Sumber: Laman Web E – Pusara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).