Home Kemanusiaan/Motivasi ISU SAMBUTAN HARI IBU BOLEH DISAMBUT ASALKAN TIDAK MELANGGAR SYARAK YANG DITETAPKAN...

ISU SAMBUTAN HARI IBU BOLEH DISAMBUT ASALKAN TIDAK MELANGGAR SYARAK YANG DITETAPKAN ISLAM

311
0

Walaupun hari ibu sudah pun berlalu empat hari lalu, namun tiada istilah terlambat untuk merayakannya. “Eh, haramlah sambut hari ibu! Bagai menyambut perayaan agama lain!”. Ini yang selalu dimomokkan dalam kehidupan seharian apabila tibanya hari ibu yang disambut pada 12 Mei setiap tahun. Menurut Irsyad Hukum Siri Ke-845 oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan dengan hukum sambutan hari ibu, ianya adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.

Sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan kedua ibu bapa. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan tentang kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap keduanya. Firman Allah SWT:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. (QS al-Ahqaf :15).

Terdapat dua pandangan menyambut Hari Ibu iaitu pertama haram jika penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Yang kedua harus sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan.

Ketahuilah, memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam. Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan