Home Kemanusiaan/Motivasi JIHAD MENUNTUT ILMU ADALAH SUATU KEWAJIPAN KE ATAS SETIAP MUSLIM

JIHAD MENUNTUT ILMU ADALAH SUATU KEWAJIPAN KE ATAS SETIAP MUSLIM

1474
0

Dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (HR Tirmidzi)

Ayat di atas jelas menerangkan bahawa Rasulullah SAW amat menitikberatkan setiap umatnya agar menuntut ilmu. Ilmu pengetahuan sering disebut sebagai jambatan kejayaan, pemangkin kemenangan dan pelbagai lagi. Maka, tidak hairanlah mengapa ia menjadi tuntutan dan saranan yang penting. Ilmu pengetahuan bukan sahaja menjamin nilai tambah dalam diri seseorang. Bahkan ia mampu membentuk pemikiran yang sihat bagi setiap umat dalam membina masa depan cemerlang. Ilmu yang baik akan membentuk jati diri seseorang Muslim.

Apabila seseorang Muslim itu menuntut ilmu, maka Allah SWT akan mengurniakan mereka kelebihan-kelebihan seperti:

• Allah SWT akan memudahkan jalan ke Syurga.
• Mendapat sakinah dan rahmat daripada Allah SWT.
• Mendapat perlindungan daripada para malaikat.

Firman Allah SWT:

“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (QS. At-Taubah: 122)

Oleh itu, kita haruslah sedar bahawa ilmu itu adalah sumber segala yang kita ada sekarang. Ilmu yang menerangi kehidupan kita seharusnya menjadi petunjuk untuk memperolehi kehidupan yang bahagia. Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang itu juga memberikan manfaat jika disebarkan kepada orang lain. Dengan ilmu, seseorang mampu melakukan hal yang dianggap bermanfaat bagi dirinya dan orang lain melalui pengetahuan yang dimiliki. Manfaat ilmu tidak hanya dirasakan individu itu sahaja bahkan masyarakat sekitarnya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)