Home MURTAD GEJALA MURTAD DALAM KALANGAN UMAT ISLAM PERLU DIBENDUNG SEGERA KERANA IA MENGANCAM...

GEJALA MURTAD DALAM KALANGAN UMAT ISLAM PERLU DIBENDUNG SEGERA KERANA IA MENGANCAM KESUCIAN ISLAM DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA

1836
0

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutan telah termaktub dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjadi undang-undang tertinggi negara.

Namun, kedudukan tersebut terjejas dengan wujudnya isu murtad di Malaysia dengan alasan mereka melaksanakan hak kebebasan beragama yang kononnya menggunapakai Perkara 11(1) peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Namun disebabkan kejahilan dalam ilmu agama dan ditambah dengan tiadanya peruntukan undang-undang yang jelas serta ketidakseragaman undang-undang mengenai kesalahan berkaitan murtad, turut memberi ruang kepada peningkatan statistik isu murtad di Malaysia.

Sesungguhnya gejala murtad ini perlu dilihat sebagai satu bentuk ancaman yang sangat membahayakan akidah masyarakat yang boleh membawa kepada kehancuran umat Islam di negara ini. Gejala ini berlaku disebabkan oleh kejahilan mereka tentang hakikat Islam yang sebenar. Mereka yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan Islam yang benar, dan tidak beramal dengan amal Islami pasti akan lebih mudah dipengaruhi oleh orang-orang bukan Islam yang sedang berusaha sama ada melalui gerakan Kristianisasi, liberalisasi atau gerakan yang lain untuk memurtadkan sebahagian umat Islam di negara ini.

Oleh itu, sedarlah wahai umat Islam seluruhnya, meskipun tidak dijatuhkan hukuman di dunia, tidaklah bererti Allah meredhai tindakan mereka untuk murtad kerana perbuatan murtad adalah perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah, yang pastinya akan diazab di akhirat kelak. Perbuatan murtad bukan sahaja mengesani diri mereka sendiri, bahkan dikhuatiri apabila dizahirkan kemurtadan tersebut, mereka akan mempengaruhi dan mengajak individu lain pula untuk turut sama murtad. Hal ini bukan sahaja membawa fitnah kepada agama Islam dan mengancam kesucian agama Islam itu sendiri, malah akan mengancam kestabilan dan keharmonian negara.

Oleh itu, sebagai langkah untuk membentengi diri daripada terjerumus dalam kemurtadan, umat Islam diseru supaya memperbanyakkan ilmu agama, berdamping dengan sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, bertadabbur dengan guru-guru yang mengajar agama Islam yang sebenar, tinggal dalam persekitaran yang sentiasa memelihara agama Islam dan sentiasa menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang tidak baik sehingga membolehkan menjejaskan akidah.

Sumber: Laporan Kajian Penyelesaian dalam Menangani Pertukaran Agama Masyarakat Melayu Islam di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Malaysia, 2008).