Home Kemanusiaan/Motivasi JIHAD MELAWAN NAFSU MERUPAKAN JIHAD YANG BESAR DAN MENJADI CABARAN UTAMA UMAT...

JIHAD MELAWAN NAFSU MERUPAKAN JIHAD YANG BESAR DAN MENJADI CABARAN UTAMA UMAT ISLAM HARI INI

851
0

Petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki. Sebagai contoh, pergolakan politik di negara pada hari ini.

Ia merupakan satu cabaran buat rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan permainan politik pihak-pihak tertentu di kala negara sedang berhadapan pandemik COVID-19. Kita diracuni dengan pelbagai ideologi dan hasutan hingga membuatkan diri terumbang ambing, jiwa dipenuhi nafsu amarah dan akhirnya berlakulah kepincangan di dalam negara.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT.” (QS Yusuf: 53)

Sesungguhnya, perang psikologi sebegini adalah cabaran terbesar umat Islam dalam memerangi nafsu sendiri. Hal ini kerana apabila pihak tersebut memulakan taktik dan stategi dalam meracuni pemikiran rakyat hingga akhirnya memancing nafsu amarah dan dendam, maka di situ ia akan berjangkit dari satu pihak ke pihak yang lain hingga akhirnya merosakkan sahsiah diri. Jadi, kita harus berfikir sedalam-dalamnya, adakah kita ini ‘hamba’ psikologi pihak musuh untuk merembeskan segala nafsu negatif yang direncanakan semata-mata untuk memenuhi nafsu buas mereka untuk merebut pemerintahan? Akhirnya, berlakulah kepincangan hasil air tangan kita sendiri.

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa. Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.

Oleh itu, perjuangan menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan menjurus kepada jalan yang sebenar. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik.” (QS al- Ankabut: 69)

Sumber: Berita Harian “Mendepani cabaran godaan nafsu” (9 November 2014) dan “Jihad lawan hawa nafsu” (25 Disember 2015)