Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHILAH SIFAT HASAD DENGKI KERANA IA MENGHAPUSKAN AMAL KEBAIKAN DAN MENJADIKAN JIWA...

JAUHILAH SIFAT HASAD DENGKI KERANA IA MENGHAPUSKAN AMAL KEBAIKAN DAN MENJADIKAN JIWA TIDAK TENANG

1971
0

Hasad adalah kalimah Arab yang diterjemahkan sebagai dengki. Makhluk pertama berbuat dengki di langit ialah iblis laknatullah. Orang pertama sekali yang melakukan dengki di dunia ialah Qabil ketika dia dengki terhadap saudara kandungnya, Habil sehingga berlakunya pembunuhan.

Di dalam sesebuah kehidupan, kita haruslah mempunyai sikap bertolak ansur atau meraikan perbezaan di antara satu sama lain. Tidak seharusnya ada perasaan hasad dengki di antara sesama manusia lebih – lebih lagi sesama Muslim. Sifat hasad dengki amatlah dibenci oleh Allah SWT. Bahkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah memberi amaran dalam sabdanya:

“Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud).

Salah satu sebab manusia berasa dengki adalah disebabkan harta. Seorang manusia akan mudah dengki apabila melihat orang lain lebih berharta. Biasa kita dengar orang yang berjaya dalam perniagaannya akan jatuh kerana ‘buatan orang’. Bukan itu sahaja, seorang manusia juga mudah untuk berasa dengki apabila melihat kebahagiaan orang lain. Maka, bermacam cara dan fitnah yang dilakukan demi melihat sesuatu perhubungan retak dan hancur.

Tahukah kita semua, bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai sedikit pun perasaan dengki di dalam diri akan menghapuskan seluruh amalan kebaikan dan sedekah yang kita amalkan? Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Kedengkian akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar, dan sedekah akan menghapus kesalahan sebagaimana air dapat mematikan api. Shalat adalah cahaya seorang mukmin, sedangkan puasa adalah perisai dari api neraka.” (HR Ibnu Majah).

Selain itu, orang yang ada dalam dirinya sifat hasad dengki akan sentiasa tidak merasa tenang kerana dalam dirinya ada penyakit hati. Mereka yang hasad dengki sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain. Akhirnya ia menimbulkan dendam, fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan kepada dirinya dan anggota masyarakat yang lain.

Sebagai umat Islam, wajib bagi kita untuk menyingkirkan perasaan hasad dengki di dalam hati kerana pengakhirannya akan membuat kita berasa kesal. Sudah banyak contoh kisah tauladan yang diceritakan kepada kita, akan tetapi mengapa kita masih tidak menerima iktibar dari kejadian tersebut? Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya saling mengeratkan hubungan sesama saudara seagama atas nama Islam dan menjauhi hasad dengki barulah hidup kita aman dan harmoni. Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah Subhanahu Wata’ala (Agama Islam) dan jangan lah kamu bercerai berai.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Sumber: Harian Metro (2 November 2018)