Home Kemanusiaan/Motivasi HATI-HATI DALAM BERTUTUR KATA WALAUPUN IANYA SEKADAR GURAUAN KERANA BOLEH MENDATANGKAN DOSA

HATI-HATI DALAM BERTUTUR KATA WALAUPUN IANYA SEKADAR GURAUAN KERANA BOLEH MENDATANGKAN DOSA

28
0

Masyarakat Melayu Islam sangat bertertib penuh berhikmah dalam mengeluarkan tutur kata. Dalam masyarakat yang sentiasa menjunjung tinggi nilai adab dan kesopanan, aspek ‘kebersihan’ komunikasi amat diberikan keutamaan. Maka tidak hairanlah masyarakat kita sejak dahulu lagi memiliki banyak ungkapan kata yang memberikan pengajaran, sindiran mahupun teguran demi kebaikan sesama anggota masyarakat. Misalnya, peribahasa yang menyebut, ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Peribahasa ini begitu mendalam maksudnya yang memberikan didikan kepada seluruh anggota masyarakat Melayu supaya sentiasa berhati-hati dalam bertutur kata.

Sebenarnya, Islam begitu mengambil cakna terhadap aspek kebahasaan dan penggunaan linguistik kerana ia juga merupakan antara unsur iman yang perlu dipelihara sebaiknya. Islam meletakkan aspek linguistik dalam penggunaan apa jua naratif sebagai cerminan iman dan imej keperibadaian seseorang individu. Malah, Baginda Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan yang intipati kandungan didikannya mengajak umatnya supaya bijak memilih aspek kosa kata yang memberikan manfaat. Pesan Baginda SAW, jika tidak mampu mengucapkan yang baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain lebih baik kita diam. Baginda Rasulullah SAW berpesan:

“Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Antara tuntutan ajaran al-Quran kepada umat ini ialah menyeru mereka memberi ucapan dan menzahirkan perkataan yang baik. Perkataan yang baik adalah perkataan mengandungi kebenaran dan manfaat. Namun, pada zaman ini dapat dilihat bagaimana umat manusia sudah mula hilang rasa malu dan mengucapkan kata-kata yang kurang enak didengar. Walaupun sebilangannya beranggapan ianya sekadar gurauan, namun ia tetap dianggap salah kerana boleh menjatuhkan air muka seseorang serta dianggap berdosa. Kata-kata yang kotor dan dusta sebenarnya boleh menjatuhkan maruah, mematikan persahabatan serta memutuskan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya dihubungkan.

Ingatlah, Allah SWT tidak menyukai sebarang bentuk ucapan menyakitkan yang disebut dengan cara berterus terang mahupun dengan cara sembunyi-sembunyi kerana larangan Allah SWT juga termasuk berbisik-bisik dalam membicarakan sesuatu perkara boleh membawa kepada dosa dan permusuhan. Ini kerana perbuatan ini dianggap satu dosa antara manusia dengan manusia lainnya dan akan diberikan pembalasan. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (QS An – Nur: 19).

Sumber: Berita Harian (19 Februari 2016)