Memetik satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan, Majlis Fatwa Negeri Johor dengan sebulat suara memutuskan kedudukan kubur suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram perlu berjauhan dari liang lahad penghuni kubur yang lain. Keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa negeri yang bersidang Jumaat lalu dipengerusikan oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan lagi, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding liang lahad lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek. Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan berkaitan dan mestilah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
Hal ini dilakukan sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek. Majlis Fatwa Johor juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.
Ini adalah bukti Islam yang sebenar. Walaupun di setiap platform media sosial ramai netizen yang mempersoalkan mengapa suspek dilayan seperti itu, jawapan di atas sudah cukup jelas menggambarkan keadaan sebenar. Memang Islam itu mudah dan kita sebagai umat Islam harus berlapang dada dan menerima ketentuan takdir dari Allah SWT. Cuma apa yang dilakukan oleh suspek itu sangat tidak berperikemanusiaan dan wajar diberikan pengajaran kepada setiap manusia yang masih hidup supaya tidak melampaui batas dalam mengambil sesuatu tindakan. Allah SWT berfirman:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (QS An – Nisa: 93).
Maka ingatlah, Islam tidak sesekali berkompromi dengan jenayah kepada jiwa yang tidak bersalah! Sekiranya masih ada yang mempersoalkan tentang keadaan jenazah suspek dilayan seperti itu, maka bersoal jawab lah dengan Majlis Fatwa Johor sendiri. Keputusan yang dibuat bukanlah atas dasar ikut kepala sendiri melainkan ia berdasarkan al – Quran dan As – Sunnah. Mereka yang membuat keputusan terdiri dari kalangan ahli yang mempraktikkan hukum hakam Islam, jadi mengapa kita pula yang lebih sudu dari kuah?!
Sumber: Harian Metro, 20 Mei 2024 (https://www.hmetro.com.my/utama/2024/05/1092441/kubur-suspek-serang-balai-polis-ulu-tiram-perlu-diasingkan-jawatankuasa-fatwa)