Apabila tibanya bulan Zulhijjah, sudah pasti setiap umat Islam akan meraikan kedatangannya kerana ia bulan penuh dengan keberkatan, bulan di mana umat Islam boleh merebut sebanyak mana pahala dengan mengamalkan ibadah – ibadah sunat yang dituntut seperti berpuasa sunat dan melakukan ibadah korban. Bulan Zulhijah yang dikenali sebagai bulan haji turut dipilih oleh Allah SWT untuk mengurniakan pahala yang istimewa kepada setiap umat Islam. Kelebihan bulan Zulhijah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh.” (QS Al – Fajr: 1 – 2).
Apakah kelebihan dan keistimewaan yang ada pada bulan Zulhijjah?
1) Pahala yang lebih besar daripada Jihad. Rasulullah SAW bersabda:
“Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari terawal Zulhijah)”. Para sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Sekalipun jihad pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah SAW: “Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit (disebabkan syahid).” (HR Bukhari).
2) Hari yang paling baik dalam setahun. Menurut al-Imam Ibn Taimiyyah, 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kata beliau:
“Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah.” [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287].
3) Hari yang dicintai oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR At – Thabrani).
Oleh itu, marilah kita menggunakan kesempatan yang ada ini untuk merebut peluang pahala yang telah dibentangkan oleh Allah SWT dengan seluas – luasnya. Semoga kita sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT di dunia dan akhirat, In Shaa Allah.
Sumber: portal e – central (https://ecentral.my/amalan-kelebihan-bulan-zulhijjah/)