Kesyirikan bagi umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah menyerahkan ibadah kepada selain Allah. Namun, menurut Al-Khumaini kesyirikan hanyalah jika seseorang meyakini adanya Tuhan selain Allah. Sekiranya seseorang sujud dan berdoa kepada makhluk tanpa disertai keyakinan bahawa makhluk tersebut adalah Tuhan, maka ianya bukanlah satu perkara yang syirik.
Selain itu, dalam kitab karya Al-Khumaini, Kasyf al-Asrar, menyatakan bahawa meminta kepada mayat dan batu bukanlah kesyirikan. Menurutnya lagi, ruh seseorang setelah mati semakin hebat dan diberi kekuatan oleh Allah dan semakin tinggi kedudukannya lebih-lebih lagi ruh para nabi dan ruh para imam suci yang telah dianugerahkan qudrah (kemampuan dan kekuatan) oleh Allah.
Lihatlah bagaimana terpesongnya akidah dan pemikiran yang ditetapkan oleh Al-Khumaini kepada pengikut Syiahnya sehingga mempercayai dan membolehkan meminta bantuan kepada mayat. Sedangkan tiada mana-mana dalil atau hadis yang menyandarkan kenyataannya. Dia hanya menyandarkan kepada keyakinan kaum ahli falsafah Yunani yang tidak beragama, bukan Yahudi dan juga bukan Nashara.
Justeru itu, ilmu tentang asas agama sangat perlu dipelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali bahawa sesuatu perkara itu adalah sesat atau tidak. Oleh sebab itu, Malaysia tidak mengiktiraf fahaman Syiah ini dan fatwa pengharaman juga telah dikeluarkan bukan sahaja kerana akidahnya yang terpesong, malah ia mampu mewujudkan pecah belah dalam kalangan umat Islam sendiri dan menggangu gugat keselamatan negara.
Sumber: Buku “Sejarah Berdarah Sekte Syi’ah – Membongkar Koleksi Dusta Syaikh Idahram.”