Faktor utama mengapa ramai masyarakat Islam di negara ini masih terjebak dengan ajaran sesat adalah kerana kejahilan. Golongan ini lebih suka mencari agama dengan jalan yang mudah, mahu sesuatu yang ‘tidak diajar’ oleh pendakwah arus perdana, akibatnya mereka terjerumus dalam mengenali seorang ‘guru’ yang bersifat palsu.
Wujud juga segelintir masyarakat pada hari ini yang sangat mudah terpesona dengan pemakaian serta tutur kata sehingga tidak menilai kata-kata seseorang itu sama ada benar atau sebaliknya. Orang lebih mudah tergoda dengan kata-kata lembut daripada individu berkaitan sedangkan kata-katanya memberi maksud yang buruk sama ada pada perbuatan, amalan mahupun akidahnya.
Selain itu, perkara yang perlu kita akui adalah penguatkuasaan undang-undang syariah yang lemah serta terlalu banyak birokrasi hanya untuk menegakkan agama Islam. Maka, tidak hairanlah jika dikatakan pertumbuhan ajaran sesat seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ketua-ketua ajaran sesat khususnya mengambil kesempatan mendoktrinkan ideologi sesat kepada pengikutnya seterusnya mendapat kepercayaan dan sokongan sehingga dikhuatiri ketaksuban yang melampau pada ketua dan ajaran sesat tersebut mencetuskan bibit-bibit keganasan dengan pihak yang dianggap tidak mengikut dan menentang ajarannya.
Justeru itu, umat Islam berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran akidah. Berguru dan mendalami ilmu agama menerusi pendakwah yang memegang tauliah mengajar juga perlu dititik beratkan supaya ilmu yang diterima adalah berlandaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan teras akidah Asyairah dan Maturidiyah serta tasawuf yang muktabar.
Sumber: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA)